Tuan Guru Nik Abdul Aziz Rahimahullah

B9pod_6CEAAG21_

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931. Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid. Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah. Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain. Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun. Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri.

Sumber: Unknown (Whatapp)

Info tambahan

TG Nik Aziz merupakan satu-satunya wakil musnid Malaysia yang meriwayatkan sanad tinggi daripada Maulan Husain Ahmad Al-Madani.

Nama TG Nik Aziz juga didaftarkan dalam pelajar-pelajar melayu di India dan ianya tersimpan di Arkib Negara.

photo 1

IMG_8279

Antara pautan menarik mengenai TG Nik Aziz Rahimahullah.

 

 

Sultan Ulama Al-Izz Ibn Abdul Salam

Sejarah berulang kembali, peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman dahulu berlaku juga di zaman sekarang. Sikap dan pendirian ulama’ silam menjadi penantian dan harapan ummah daripada ulama’ hari ini. Ummah telah melalui beberapa krisis yang sentiasa berulang, maka kita perlu kembali mengingati dan mengenangi peristiwa-peristiwa yang lalu semoga ianya dapat menjadi suatu pengajaran dan iktibar.

Kata Dr. Jamil al-Misry rahimahullah:  “Orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa mengingati sejarah silam serta bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang.”

Apabila membincangkan tentang amar ma’ruf – nahi mungkar, kita akan mengingati suatu sejarah yang berlaku pada kurun yang ke-7, iaitu ketegasan dan keberanian seorang ulama’ yang bangun menentang kemungkaran secara terang-terangan. Sepertimana yang dilakukan oleh seorang sahabat Nabi r, Abu Said al-Khudri t terhadap Marwan bin al-Hakam yang merupakan khalifah pada waktu itu. Peristiwa ini berlaku pada suatu Hari Raya. Apabila Marwan bangun untuk menyampaikan khutbah hari raya sebelum solat al-Eid, Abu Said al-Khudri segera menariknya turun serta mengingatkan bahawa sunnah khutbah adalah selepas solat. Marwan menjawab: “Sunnah itu telah pun ditinggalkan.”

Dalam lipatan sejarah ummah ini, telah lahir seorang ulama’ di Damsyik, Syria yang bernama Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulami al-Dimasyqi al-Misri al-Syafie, beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Beliau digelar Sultan Ulama’ dan Penjual Raja-Raja. Beliau dilahirkan pada tahun 577H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660H.

Berikut adalah beberapa peristiwa yang menunjukkan ketegasan dan keberanian al-Izz dalam menentang kemungkaran:

1. Sewaktu di Damsyik, berlaku peristiwa perbalahan di antara pemerintah Damsyik, al-Saleh Ismail dan pemerintah Mesir, Najmuddin Ayyub. Apabila al-Saleh berasa gentar dengan ancaman Ayyub, beliau telah membuat satu pakatan dengan tentera kafir Salibiyyah untuk membantunya menentang saudaranya Ayyub dengan menjanjikan beberapa negeri dan kawasan kepada Salibiyyah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 638H. Malah beliau juga memberi kebenaran kepada tentera-tentera Salibiyyah memasuki Damsyik dan membeli senjata bagi memerangi Muslimin. Setelah berita ini sampai kepada al-Izz yang merupakan khatib dan Mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengutuk dan mengecam tindakan al-Saleh tersebut, yang merupakan suatu pengkhianatan besar terhadap umat Islam. Beliau tidak lagi berdoa untuk sultan di dalam khutbahnya, sebaliknya berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali bai’ahnya (taat-setianya). Pada masa itu al-Saleh berada di luar Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda terus mengeluarkan arahan memecat al-Izz dari jawatan khatib dan mufti Damsyik serta mengarahkan supaya al-Izz ditangkap. Beliau menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Setelah dibebaskan dari penjara, al-Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik dan menuju ke al-Quds, Palestin. Kemudian tiba pula al-Saleh Ismail bersama tentera Salibiyyah yang dalam perjalanan menuju ke Mesir. Ketika berada di Quds, baginda menghantar seorang wakil untuk bertemu al-Izz serta memujuknya agar datang mengadap sultan dan mencium tangannya. Sekiranya beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan asalnya. Al-Izz dengan tegas menjawab: “Wahai si miskin! Aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku,  bagaiman pula aku sanggup mencium tangannya.”Utusan itu menjawab: “Jika tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali.” Al-Izz menjawab: “Buatlah apa yang kamu suka.” Lalu al-Izz pun ditangkap kembali dan dikurung di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah yang didiami oleh sultan dan ketua tentera Salibiyyah. Pada waktu malam terdengarlah suara al-Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir. Ketika itu al-Saleh Ismail memberitahu ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama’ yang ditangkap kerana enggan bekerjasama dengan baginda. “Beliau ditangkap demi kepentingan kamu”, ceritanya dengan bangga. Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya menjawab: “Kalaulah ulama’ ini di dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan meminum air basuhan tersebut”. Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera al-Saleh Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya al-Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.

2. Di Mesir. Kedatangannya pada tahun 639H telah disambut oleh Sultan Najmuddin Ayyub dengan penuh penghormatan. Namun di Mesir al-Izz berhadapan pula dengan kemungkaran-kemungkaran yang mesti ditentang dan dihapuskan. Najmuddin Ayyub adalah seorang yang sangat garang dan tidak banyak bercakap dengan pegawai-pegawainya kecuali sekadar menjawab pertanyaan sahaja. Untuk memperkukuhkan pemerintahannya Najmuddin Ayyub telah membeli beberapa orang hamba dari Turki dan mereka diberi latihan ketenteraan. Sebahagian daripada mereka telah mendapat kepercayaan daripada Ayyub sehingga dilantik memegang jawatan ketua tentera dan ada juga yang dilantik sebagai Naib Sultan. Al-Izz pula dilantik menjadi ketua hakim (Qadhi al-Qudhah) dan khatib Mesir. Ketika melaksanakan tugasnya, al-Izz mendapati wujud beberapa kepincangan dalam pemerintahan, antaranya; beberapa orang Umara’ (pemimpin) masih lagi daripada golongan hamba yang menjadi milik Baitulmal Muslimin. Mengikut hukum syara’, perlantikan mereka ke jawatan-jawatan tersebut tidak sah dan tindakan mereka terbatal. Antara mereka ialah Naib Sultan sendiri. Al-Izz lalu memaklumkan kepada mereka tentang kedudukan mereka di sisi syara’ dan mengambil tindakan membekukan segala tindakan mereka. Keputusan tersebut telah menimbulkan kemarahan dan tidak puas hati di kalangan umara’ yang masih merupakan golongan hamba. Mereka mengadakan pertemuan dengan Syeikh al-Izz untuk mendapat kerjasama dan penjelasan tentang masa depan dan kedudukan mereka. Tetapi al-Izz mengambil sikap tegas dalam keputusannya bahawa mereka hendaklah dijual secara lelongan terbuka, kemudian dibebaskan mengikut hukum syara’.

Keputusan hukum syara’ tersebut bukan sahaja ditolak dan ditentang bahkan al-Izz diberi layanan kasar oleh Sultan Mesir sendiri. Oleh kerana itu al-Izz membuat keputusan meninggalkan negeri yang enggan melaksanakan Syariah Allah itu. Keputusan tersebut dilaksanakan serta merta. Dengan menggunakan dua ekor keldai, seekor untuk isteri dan barangannya dan seekor lagi untuk tunggangannya, maka keluarlah al-Izz dari Kaherah. Setelah berita al-Izz keluar dari Kaherah diketahui umum, orang ramai dari segenap lapisan masyarakat mengambil keputusan untuk keluar bersama-sama al-Izz dari negeri tersebut, sebagai penentangan terhadap pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah. Di sini bermulalah detik pertama, Sultan telah diberi nasihat oleh seorang penasihat yang jujur dengan kata-kata: “Selamatkanlah kerajaanmu! Jika tidak ia akan binasa dengan pemergian al-Syeikh”. Mendengar nasihat itu bergegaslah Sultan menunggang kuda mendapatkan al-Izz untuk memujuk dan melembutkan hatinya supaya kembali semula ke Kaherah. Beliau setuju dengan permintaan sultan itu, dengan syarat semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba itu hendaklah dijual secara lelong terbuka. Kembalilah al-Izz bersama pengikutnya. Benarlah, sesungguhnya kebenaran dan keadilan mengalahkan kebatilan dan kezaliman.

Setelah al-Izz kembali ke Kaherah dengan syarat tersebut, Naib Sultan cuba campur tangan dalam keputusan yang telah dibuat. Mula-mula dia cuba memujuk al-Izz, setelah tidak berjaya dia mengalih kepada ugutan dan akhir sekali cuba untuk membunuh al-Izz. Setelah semua cara yang digunakan menemui kegagalan akhirnya semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba termasuklah Naib Sultan sendiri terpaksa tunduk kepada keputusan yang dibuat dan menerima hukuman syara’.

Al-Izz mengiklankan jualan secara lelong terbuka kepada semua rakyat. Beliau memanggil pegawai kanan kerajaan tersebut seorang demi seorang dan menaikkan harganya sedikit demi sedikit, sehingga sampai kepada harga yang paling tinggi dan tidak mampu lagi dibeli oleh orang perseorangan, maka Sultan Najmuddin membeli mereka itu dengan wangnya sendiri. Kemudian hamba-hamba tersebut dibebaskan dan jawatan-jawatan mereka yang telah dibekukan itu dikembalikan semula. Akhirnya mereka bertugas seperti biasa. Dari peristiwa inilah as-Syeikh al-Izz rahimahullah dikenali sebagai ‘Penjual Raja-Raja’. Masyhurlah kisah ini keseluruh dunia. Pendirian unggul yang belum pernah disaksikan oleh alam ini, telah menjadi satu catatan sejarah. Suara kebenaran kembali berkumandang, ulama’ dimartabatkan, Syariah Allah dilaksanakan, kebatilan dikalahkan, kekuasaan kerajaan dan kebendaan hancur berkecai dan tersungkur di hadapan kerajaan Allah dan hukum-hukum-Nya. Al-Izz telah mengamalkan kehendak hadis Rasulullah sallallahu’alaihiwassalam yang bermaksud: “Jihad yang paling afdhal ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim”. [Hadis riwayat Ibnu Majah; Sahih Ibnu Majah No. 3240] Kembalilah al-Izz ke rumahnya dalam jagaan Allah dan pemeliharaan-Nya sambil membaca firman Allah yang bermaksud: {Sesungguhnya Allah akan mempertahankan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai semua pengkhianat lagi kufur”}. [Al-Haj:38]. Beliau juga membaca firman Allah yang bermaksud: {Dan Allah amat berkuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”}. [Yusuf :21]. Demikianlah ketegasan seorang ulama’ yang telah melaksanakan amanah yang dipikulnya. Memang ummah ini telah diberi gelaran ‘khaira ummah‘ oleh Allah kerana tugas mereka mengajak manusia ke jalan yang benar, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: {Kamu adalah ummat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar dan beriman kepada Allah”}. [Ali Imran:110]. Ummah sentiasa menanti tindakan yang dilakukan oleh ulama’ apabila berlakunya kemungkaran dan mereka akan bersama para ulama’ tersebut, tetapi apabila lesunya ulama’ dalam menangani masalah ummah maka berleluasalah segala bentuk maksiat dan kemungkaran. Di sini dapat diperhatikan betapa pentingnya kesatuan ulama’ (wehdatul ulama’). Apabila seorang daripada kalangan ulama’ menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau sesiapa saja, maka yang lain hendaklah memberi sokongan sebagaimana yang berlaku kepada al-Izz, bukannya mengeluarkan fatwa lain yang bercanggah sebagaimana yang berlaku kepada ummah sekarang. Contohnya; apabila seorang ulama’ mengajar kaum wanita supaya menutup aurat dan tidak bertabarruj, sepatutnya semua ulama’ menyokong dan bukannya mengeluarkan kenyataan kononnya ajaran tersebut menyekat hak individu dan sebagainya. Atau membuat tafsiran yang mengelirukan ummah dengan berselindung di sebalik slogan “kesederhanaan Islam”. Secebis peristiwa di atas adalah contoh ketegasan ulama’ ummah yang menjadi obor dan panduan di jalan dakwah. Sesungguhnya amat benar firman Allah yang bermaksud: {Di antara orang-orang mukmin itu terdapat golongan yang telah menepati perjanjian mereka kepada Allah, maka di antara mereka ada yang telah gugur (syahid) dan ada pula yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)}. [al-Ahzab:23].  Akhukum fil Islam,Abu Anas Madani. Al-Madinah Al-Munawwarah

Dari sumber: http://www.abuanasmadani.com

Baju Besi Amirul Mukminin

Ayyuhal Walad,

Image

Satu kisah yang dikongsikan oleh Ustaz Emran Ahmad Hafizohullah yang menarik untuk menjadi ‘ibrah’ pada ummat kini tentang keadilan dalam islam yang memberi rahmat hidayah pada mahluk terpilih.

Semasa zaman pemerintahan Amirul Mukminin Ali Abi Talib RA, beliau iaitu Ali pada suatu hari ternampak baju besi miliknya yang hilang telah berada pada seorang Kristian. Ali RA cuba meminta semula baju besinya tetapi ditolak oleh lelaki itu lalu Ali RA pun membawa kes tersebut ke mahkamah dan meminta hakim Syuraih memutuskan kes tersebut.

Ali RA berkata,” Baju besi ini ialah milikku dan aku tidak pernah menjualnya atau memberikan ia kepada sesiapa”.

Hakim Syuraih pun berkata kepada lelaki kristian tersebut, ” Apakah jawapan engkau terhadap dakwaan Amirul Mukminin tersebut?

Lelaki Kristian itu pula berkata,” Baju besi ini ialah milikku dan aku tidaklah berniat untuk menuduh Amirul Mukimin menipu”.

Hakim Syuraih kemudian berkata kepada Ali RA, ” Apakah Amirul Mukminin mempunyai bukti tentang dakwaan tersebut?

Ali bin Abi Talib RA pun kemudian ketawa kerana tersedar akan kesilapannya yang tidak mempunyai bukti lalu berkata,”Engkau benar wahai Syuraih, aku tidak mempunyai bukti”.

Lalu Hakim Syuraih pun memutuskan baju besi itu menjadi milik lelaki Kristian tadi. Lelaki Kristian itu kemudian membawa baju besi itu dan pergi daripada tempat tersebut namun kemudian datang semula lalu berkata,” Pada pendapat aku ini ialah keputusan yg dibuat berdasarkan ajaran para Nabi dan Amirul Mukminin walaupun membawa kes ini kepada hakim lantikan beliau namun hakim itu tetap memutuskan kes menyalahi beliau.

Maka aku bersaksi bahawa tiada tuhan yang berhak disembah selain ALLAH dan Muhammad itu ialah rasul ALLAH. Demi ALLAH, baju besi itu ialah milik engkau wahai Amirul Mukminin kerana aku mengutipnya ketika ia terjatuh dari barang-barang engkau sewaktu engkau dalam perjalanan ke peperangan Siffin.

Ali RA pun berkata,” Kini engkau telah memeluk islam maka baju besi itu adalah milikmu”. Lalu beliau pun mendudukan lelaki kristian itu di atas kudanya.

Kata Al-Sha’bi, yang menjadi perawin kisah ini beliau telah dimaklumkan bahawa lelaki Kristian itu setelah memeluk islam telah ikut berperang dibawah pasukan Ali bin Abi Talib RA dan memerangi golongan Khawarij di Nahrawan.

[Rujukan: Kitab Al-Bidayah wa Al-Nihayah, Imam Ibn Katsir Rahimahullah]

1. Hakim Syuraih ialah Syuraih bin Al-Haris bin Qais Rahimahullah merupakan salah seorang tabien yang faqih dah diangkat menjadi qadhi atau hakim oleh Khalifah Umar Al Khattab RA.

2. Khalifah Ali bin Abi Talib sekalipun merupakan menantu nabi, sahabat dan khalifah namun beliau tidak menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan baju besinya tetapi menggunakan saluran undang-undang yang memutuskan hukum berdasar syariah islam.

3. Lelaki Kristian itu walaupun seorang yang kafir dan bukan islam tetapi haknya tetap dipelihara oleh islam dah tidak ditindas..

Ya ustaz, Jazakallahu khairan katsiro