Sombongkah Tidak Mengangkat Tangan Ketika Doa Khutbah Jumaat?

IMG_6331

Sering kedengaran kenalan yang mengeluh tentang makmum yang tidak menadah tangan doa ketika khutbah solat jumaat sebagai sombong, berhati busuk dan lain-lain. Walaupun amalan menadah tangan ni sudah menjadi ikutan makmum di Malaysia tetapi perkara ini adalah bukan sunnah.

Secara umum ada dalil yang menyaran untuk mengangkat tangan ketika berdoa seperti Sabda Rasulullah Shallahua’alaihi wassalam:

“Sesungguhnya Allah yang maha mulia, apabila hambanya mengangkat tangan kepadanya, ia tidak akan menolak dengan tangan kosong”. (HR At-Tirmizi no 3556, di sahihkan oleh Albani)

Namun bagi solat jumaat ketika khatib membaca doa didalam khutbah bukanlah sunnah untuk mengangkat tangan cuma cukup sekadar menunjuk dengan mengunakan jari telunjuk. Malah ada sahabat yang melarang khatib mengangkat tangan ketika berdoa.

“Dari ‘Umarah ibn Ru’aibah melihat Bashr ibn Marwan ketika diatas mimbar mengangkat tangan dia atas mimbar. Umarah berkata: Semoga Allah burukkan kedua tangan ini. Sesungguhnya aku tidak pernah melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan lebih daripada ini dengan tangannya dan beliau mengisyaratkan dengan jari telunjuknya. (Shahih Muslim, Kitab al-Jum’ah, Hadis no.873)

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata:

Ini menunjukkan sunnah untuk tidak menadah tangan ketika khutbah. Ini merupakan pendapat Imam Malik, ulama-ulama mazhab kami (mazhab Syafie) dan selain mereka. Al-Qadhi meriwayatkan bahawa sebahagian ulama salaf dan sebahagian ulama maliki mengharuskan ia kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah menadah tangannya dalam khutbah Jumaat ketika memohon hujan. Ulama terdahulu menjawab bahawa baginda mengangkat tangan kerana sebab-sebab tertentu. (Syarah Sahih Muslil, jilid 6 m/s 162).

Berkata Syiekh Abdul Aziz bin Baaz rh:

 رفع اليدين غير مشروع في خطبة الجمعة ولا في خطبة العيد لا للإمام ولا للمأمومين ، وإنما المشروع الإنصات للخطيب والتأمين على دعائه بينه وبين نفسه من دون رفع صوت

“Mengangkat tangan tidak disyaratkan semasa khutbah Jumaat atau khutbah Eid, samada Imam atau makmum jemaah tersebut. Malah apa yang disuruh adalah mendengar khutbah dengan baik dan menyebut AMIN semasa Imam berdoa, tanpa meninggikan suara (cukup untuk diri sendiri mendengar AMIN).” (Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah Li Samaahah al-Syeikh Ibn Baaz, 12/339)

Maka, mengangkat tangan berdoa ketika solat jumaat adalah tidak sunnah.

 

 

Advertisements

Bubur ‘Asyura: Dimana Asalnya?

IMG_0128

Bubur ‘Asyura Losong, Terengganu

Bubur ‘asyura didalam masyarakat orang melayu cukup sinonim apabila menjelangnya bulan Muharam. Dahulunya orang-orang tua mengaitkan bubur ‘asyura dengan Nabi Nuh AS yang berada di dalam bahtera ketika banjir besar. Jika diingatkan ketika di kampung dahulu, nenek menceritakan kisah nabi Nuh dan bahteranya sambil mengacau bubur ‘asyura. Tetapi yang peliknya siapa yang mencatit resepinya?

Yang dimaksudkan dengan ‘asyura adalah ke 10. Peristiwa yang terjadi pada hari ‘asyura; nabi Musa AS terselamat dari Firaun, nabi Nuh AS terselamat dari banjir besar, Sayyidina Husain terbunuh di Karbala. Hukum memasak bubur asyura adalah harus jika ia tidak dikaitkan atau berpegang dengan peristiwa nabi Nuh AS kerana ianya pembohongan dan tiada dalil mengenainya. Bagi yang mengadakan majlis makan sempena 10 Muharam, amalan ini perlu ditegah kerana menyalahi sunnah yang disunatkan berpuasa pada harinya.
Sekiranya ingin memasak atau memakan bubur ‘asyura buatlah dibulan yang lain selain Muharam. Bubur ‘asyura sememangnya sedap. Allahu’alam.

 

 

Kelebihan Meninggal Dunia pada Malam Jumaat dan Siangnya

jugra

Seringkali dalam masyarakat yang berpegang dengan kelebihan meninggal dunia pada hari Jumaat akan memperoleh dan terselamat dari pada fitnah kubur. Namun terdapat khilaf mengenai kelebihan meninggal dunia pada malam/siang jumaat ini. Berdasarkan hadith yang diriwayatkan dari Imam At-Tirmizi dalam Jami’ Tirmizi, daripada Abdulullah bin A’mru telah berkata:

Tidaklah seseorang Muslim itu meninggal dunia pada hari jumaat atau pada malam Jumaat melainkan Allah menyelamatkannya dari fitnah kubur.

Kebanyakkan mengatakan isnadnya dhaif tetapi Sheikh Albani rahimahullah mengatakan hasan. Manakala Kata Abu ‘Isa: Hadis gharib, sanadnya tidak bersambung.

قَالَ أَبُو عِيسَى : هَذَا حَدِيثٌ غَرِيبٌ ، قَالَ : وَهَذَا حَدِيثٌ لَيْسَ إِسْنَادُهُ بِمُتَّصِلٍ رَبِيعَةُ بْنُ سَيْفٍ ، إِنَّمَا يَرْوِي عَنْ أَبِي عَبْدِ الرَّحْمَنِ الْحُبُلِيِّ ، عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو ، وَلَا نَعْرِفُ لِرَبِيعَةَ بْنِ سَيْفٍ سَمَاعًا مِنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو

Dari islamweb library.islamweb.net/hadith/display_hbook.php?bk_no=195&hid=992&pid=121901

Pendapat Imam Al-Bukhari

Dalam Sahih al-Bukhari, ada menyatakan sahabat rasulullah iaitu Abu Bakar ingin meninggal dunia pada hari isnin. Imam al-Bukhari meletakkan hadith ini di bawah tajuk ” Mati pada Hari Isnin”.

Daripada ‘Aisyah رضي الله عنها :

“Daku masuk menemui Abu Bakar رضي الله عنه lalu beliau bertanya: “Dalam berapa lembaran kain yang kalian kafankan Nabi Shalallahu ‘alaihi wasallam?” ‘Aisyah menjawab: “Dalam tiga helai kain Sahuliyah (kain buatan Yaman) putih tiada padanya baju dan tidak (pula) serban.” Abu Bakar bertanya kepada ‘Aisyah: “Pada hari apakah wafatnya Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wasallam  ?” ‘Aisyah menjawab: “Hari Isnin.” Abu Bakar bertanya: “Hari ini hari apa?” Aisyah menjawab: “Hari Isnin.” Abu bakar berkata: “Aku berharap umurku sampai malam ini sahaja.”

Lalu beliau (Abu Bakar) memandang kepada kain yang dipakainya sejak menderita sakit, pada baju itu terdapat tompokan za’faran (sejenis minyak wangi berwarna kuning) kemudian beliau berkata: “Kalian cucilah kain aku ini dan tambahkan atasnya dua helai kain lagi, kemudian kafankanlah aku dalamnya.”

Daku (‘Aisyah) berkata: :Sesungguhnya (kain) ini sudah usang.”

Lalu Abu Bakar menjawab: ” Sesungguhnya yang hidup lebih berhak dengan yang baharu daripada yang mati. Hanyasanya ia (kain tersebut) untuk nanah (mayat).”

(Aisyah menyambung): Tidak meninggal dunia (Abu Bakar) sehingga menjelang malam Selasa dan dikebumikan sebelum Subuh.”

(HR Al-Bukhari)

Hadith dan syarah penuh dalam arab: library.islamweb.net/newlibrary/display_book.php?idfrom=2553&idto=2554&bk_no=52&ID=889

Ringkasan syarah:

1) Kata al-Zain bin al-Munir: “Menjelaskan (bahawa) waktu (masa) kematian tidak boleh dikawal (atau bukan bawah kawalan manusia) akan tetapi sebab kematian boleh diharapkan (atau didoakan) kepada Allah untuk mendapat keberkatan walaupun tidak terjadi seperti yang diharapkan.

2) Seolah-olah Imam al-Bukhari mengisyaratkan bahawa Kelebihan (Fadhilat) Mati pada Hari Jumaat tidak sahih di sisi beliau.

Berikut adalah sebahagian pendapat dari ilmuwan:

Dr Mohd Asri (Dr Maza) mengatakan ada kelebihan mengenai meninggal pada hari Jumaat dan disebut dalam Kitab Zaadul Ma’ad oleh Al Imam Ibnu Qayyim Al-Jauziyah (wafat 751H).

Maulana Asri mengatakan yang lebihnya adalah meninggal hari Isnin kerana Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam  wafat pada hari Isnin dan begitu juga pendapat Imam al-Bukhari yang mana meninggal hari Isnin ada kelebihannya. Hadith kelebihan meninggal dunia hari Jumaat adalah tidak sahih dan tidak boleh dijadikan pegangan.

Ustaz Azhar Idrus mengatakan beliau akui yg adanya hadith sahih mengenai kelebihan meninggal pada Jumaat dengan aman dengan fitnah kubur. Maksud aman dengan fitnah kubur iaitu diringan seksa kubur.

Kesimpulan:

  • terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama, namun untuk lebih selamat mengenai kelebihan mati pada Jumaat adalah tidak berpegang padanya. Kita perlu bersedia dengan segala amalan-amalan kebaikan bagi menempuh alam barzakh bukannya merasa ringan atau lega dengan kelebihannya.

Allahu a’lam

Rujukan:

1) http://al-fikrah.net/

2) library.islamweb.net/hadith/display_hbook.php?bk_no=195&hid=992&pid=121901