Wajibkah Solat Jumaat di 2 Hari Raya

Adakah gugur solat jumaat apabila ianya jatuh pada 2 hari raya. Berikut adalah sebagai pendapat para ilmuwan.

a. Ustaz Dr Mohd Asri Zainul Abidin

  • Disiarkan pada November 26, 2009

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

  • Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

 

 

b. Ustaz Dr Anhar Opir

Ringkasan dari tulisan Ustaz Dr Anhar:

Intro

  • Solat hari raya sama ada Eidu al-Fitri atau Eidu al-Adha hukumnya adalah sunat dan nanakala solat Jumaat pula hukumnya wajib atau fardhu ain. Hukum wajib lebih utama dari yang sunat.
  • Namun terdapat hadith nabi SAW dan athar sahabat yang difahami daripadanya gugur hukum wajib solat Jumaat bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya.
  • Diantara dalilnya seperti riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka ia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya). (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

  • Begitu juga dengan Riwayat daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, katanya:

 Aku menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufiyan bertanya Zaid bin Arqam RA: Adakah engkau menyaksikan bersama nabi SAW dua hari raya yang berhimpun pada satu hari? Jawabnya: ya. Dia bertanya lagi: Bagaimana nabi SAW lakukan? Jawabnya: baginda SAW solat hari raya kemudian memberikan kelonggaran dalam solat Jumaat, sabda nabi SAW: barangsiapa yang ingin solat maka solatlah. (Riwayat Abu Daud, al-Nasaa’ie dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan ulasan: isnad sohih)

Imam al-Nawawi (676H) pula menyatakan dalam al-Majmu’bahawa isnad hadith ini baik.

  • Selain itu, Riwayat daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa:

Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan. (Riwayat al-Bukhari)

  • wujudnya dalil ni menyebabkan ulama berselisih pendapat dan perbezaan pendapat ini berpunca daripada perselisihan status hadith, athar yang sampai kepada mereka istidlal (bentuk pendalilan).
  • Terdapat 2 pendapat iaitu:
  • i) Imam Ahmad (241H) gugur kewajipan solat jumaat yang telah solat sunat hari raya tetapi wajib solat zohor.
  • ii) Mazhab Maliki, Shafie dan Hanafi pula Solat hari raya tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Maknanya solat Jumaat tetap wajib ke atas mereka yang telah melakukan solat hari raya.

Pendapat pertama berpegang kepada dalil-dalil seperti yang dinyatakan di atas. Ia dikuatkan lagi dengan riwayat daripada ‘Ato’katanya:

Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas berada di To’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah. (Riwayat Abu Daud)

Menurut pendapat yang pertama, kesemua dalil ini menunjukkan gugurnya kewajipan solat Jumaat bagi seseorang yang telah melakukan solat sunat hari raya jika berhimpun kedua-duanya pada hari yang sama. Tetapi solat Zohor tetap wajib dilakukan sebagai ganti solat Jumaatnya. Ini bermakna solat hari raya hanya menggugurkan kewajipan solat Jumaat bukannya solat Zohor.

Adapun istidlal dengan perbuatan Ibn al-Zubair adalah tidak sesuai kerana wujudnya ihtimal (kebarangkalian) lain. Dalam riwayat tersebut langsung tidak menunjukkan bahawa Ibn al-Zubair tidak solat Zohor di rumahnya, bahkan hanya menyebut tidak menunaikan solat Jummat sahaja. Maka wujud kebarangkalian Ibn al-Zubair melakukan solat Zohor di rumahnya yang tidak diketahui oleh para sahabat yang lain. Kaedah feqh menyatakan bahawa sebarang dalil yang mempunyai ihtimal maka terbatal dengannya istidlal. Boleh dikatakan bahawa ini adalah pendapat bagi mereka yang hanya membenarkan untuk diawalkan Jumaat sebelum gelincir matahari. Ini bertepatan dengan riwayat Wahab bin Kisan katanya:

Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Ibn al-Zubair, dia lewat keluar sehingga hari sudah tinggi, kemudia dia keluar dan berkhutbah, panjang khutbahnya, kemudian dia turun dan solat, dan dia tidak solat bersama orang ramai pada hari Jumaat. (Riwayat al-Nasaa’ie)

Kita sedia maklum bahawa terdapat perbezaan di antara khutbah Jumaat dengan khutbah hari raya. Khutbah Jumaat adalah sebelum solat sedangkan khutbah hari raya adalah selepasnya. Oleh itu, ini adalah pendapat yang dipegang oleh mereka yang mengharuskan Jumaat dilaksanakan awal sebelum waktu Zohor, maka solat sunat hari raya sudah memadai bagi mereka dan tidak perlu lagi melakukan solat Jumaat.

Bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada umumnya dalil yang menyatakan kewajipan solat Jumaat pada setiap minggu. Ia adalah syi’ar Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana solat sunat hari raya, melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya tidak boleh menampung yang yang satu lagi. Kedua-duanya mesti dilaksanakan tanpa pengecualian. Mereka berpandangan bahawa hadith dan atharyang sampai kepada mereka dalam persoalan ini tidak kuat sehingga ke peringkat boleh mengkhususkan umumnya dalil kewajipan Jumaat yang telah thabit (tetap) dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan ijma’. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 9 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Ayat ini adalah umum iaitu pada setiap Jumaat bagi mereka yang cukup syarat-syarat wajibnya, sama ada berbetulan dengan hari raya atau tidak. Terdapat juga pelbagai hadith nabi SAW lain yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat dan peringatan keras bagi mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, di antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Sama ada satu kaum berhenti daripada meninggalkan Jumaat, atau Allah akan menutup hati-hati mereka, kemudian menjadikan mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai. (Riwayat Muslim)

Mereka yang berpegang kepada pendapat kedua ini juga mendatangkan peristiwa yang berlaku pada zaman nabi SAW. Hari raya pada hari Jumaat seumpama ini pernah berlaku dan nabi SAW melakukan solat kedua-duanya bersama dengan para sahabat. Tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa nabi SAW memberi kelonggaran kepada para sahabat untuk meninggalkan solat Jumaat. Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir RA katanya:

Adalah nabi SAW membaca ‘sabbihisma robbika al-a’la’ dan ‘hal ataaka hadithu al-ghasyiah’ dalam dua solat hari raya dan solat Jumaat. Katanya lagi: apabila berhimpun hari raya dan Jumaat pada hari yang sama, baginda SAW juga membaca kedua-duanya dalam kedua-dua solat. (Riwayat Muslim)

Pendapat terpilih

Islam itu ajarannya praktikal dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan semua tempat. Persoalan ini ada keluasannya selagi ia adalah permasalahan khilafiyah (perbezaan pandangan) yang berdiri di atas ijtihad kerana dalalah (pendalilan) nya yang dzonni. Oleh itu, solat Jumaat di masjid hendaklah didirikan kerana beramal dengan nas asal dan mengambil yang ahwat (lebih berat). Maka imam bertugas hendaklah keluar untuk solat Jumaat bersama orang ramai khususnya yang tidak melakukan solat sunat hari raya, kerana kewajipan solat Jumaat tidak gugur ke atas mereka. Ini disebabkan yang gugur hukum wajib solat Jumaat menurut pendapat pertama adalah bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya sahaja.

Bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, jika mempunyai kesukaran untuk menghadiri Jumaat boleh memilih untuk mengikut pendapat pertama, iaitu rukhsah (kelonggaran) solat Jumaatnya sudah tidak wajib ke atasnya. Solat sunat hari raya yang dikerjakannya sudah memadai baginya, dengan syarat dia wajib melaksanakan kewajipan solat Zohor selepas masuk waktunya. Dilarang memperkecilkan orang lain yang pergi menunaikan solat Jumaat, dan tidak boleh mengingkari orang ramai yang melaksanakan Jumaat di masjid kerana ia boleh menyalakan api fitnah yang boleh membawa kepada ketidaktenteraman dan perpecahan.

Kesimpulannya, seseorang boleh mengambil pendapat tidak wajib solat Jumaat jika telah melakukan solat sunat hari raya, tetapi wajib ke atasnya solat Zohor. Adapun pendapat yang menyatakan gugurnya kewajipan solat Jumaat dan Zohor sekaligus dengan sebab solat hari raya adalah tidak berasas sama sekali. Wallahu a’lam.

Anhar Opir 9 Zul Hijjah 1433H Sweileh, Amman

c. Abu Anas Madani/ Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman

Soalan: “Apakah benar jika hari raya jatuh pada Hari Jumaat maka sesiapa yang telah menunaikan Solat Hari Raya tidak wajib lagi untuk menunaikan Solat Jumaat?

Dalam persolan ini terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah saw; Pertama: Hadis Zaid bin Arqam

عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ). رواه أبو داود (1590)،

Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a: Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini ditashih oleh ramai ulama’].

Kedua: Hadis Abu Hurairah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) رواه أبو داود رقم: 1073.

Sabda Nabi saw: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)). رواه ابن ماجة رقم: 1311.

Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. [HR: Ibnu Majah]

Ketiga: Hadis Abdullah bin Umar.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) رواه ابن ماجه رقم: 1313.

Katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” [HR: Ibnu Majah]

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada ‘Idul Fitri mahupun ‘Idul Adha.

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul Balad/ahlul madinah) yang di tempat mereka memang diadakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung yang jauh atau pendalaman (ahlul Qura / badawi), yang di tempat mereka itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung yang jauh- setelah solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa menunggu untuk mengikuti solat Jumaat pula. Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Usman dan Umar bin Abdul Aziz dan Jumhur Ulama’. Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (terdapat kemudahan masjid). Bagi penduduk desa atau kampung pendalaman yang berkunjung ke kota khas untuk solat hari raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. [Majmu’: 4/320]

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang didirikan solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang dari kampung mahupun bagi orang bandar yang dekat dengan tempat solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur, kecuali Imam (wajib ke atasnya mendirikan Jumaat). Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubair dan ‘Ali ra. Dalil Mazhab Jumhur (kebanyakkan ulama’):

1- Umum Ayat Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [Al-Jumu’ah:9].

2- Demikian juga hadis-hadis yang menyuruh supaya bersolat Jumaat. 3- Jumaat dan Solat Eid adalah dua solat yang berasingan, maka tidak gugur dengan melakukan salah satu dari keduanya, seperti solat Eid dan Zuhur. 4- Sayyidina Osman ra dalam khutbah hari raya yang jatuh pada hari Jumaat …kepada penduduk ‘Aliyah (pendudut sebelah timur Madinah): “Sesiapa yang mahu tunggu solat Jumaat, boleh tunggu, sesiapa yang ingin balik, boleh balik..) [HR: Bukhari] قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ: ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ)) [رواه البخاري، بَاب مَا يُؤْكَلُ مِنْ لُحُومِ الأَضَاحِيِّ وَمَا يُتَزَوَّدُ مِنْهَا]

Dalil Mazhab Hanafi: Berpegang dengan kewajipan asal fardhu Solat Jumaat.

Dalil Mazhab Hambali: Hadis-hadis di atas. Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur berpegang kepada dalil umum dan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah adalah berpegang pada dalil yang khusus. Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya – yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat – gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. [Pendapat Mazhab Hambali] Hukum kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur. Hukum keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.

Kesimpulannya, Pendapat jumhur yang membezakan antara warga bandar dengan orang yang jauh dari tempat solat Jumaat didirikan adalah wajar diambil kira, kerana ulama’ telah meletakkan suatu kaedah: “Keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal” oleh itu bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid hendaklah tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, bagi sesiapa yang mempunyai masyaqqah (kesusahan) untuk kembali semula ke tempat Jumaat memadailah dengan melakukan solat Zuhur. Demikian juga waqi’ atau realiti rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie (secara resminya) adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Keizinan yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah. Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah, masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan kaum lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat, ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham. Pengalaman ana berada di Tanah Haram, yang berpegang secara rasmi dengan mazhab Hambali, dua Masjid Haram tetap melakukan solat Jumaat, adapun masjid-masjid lain disekitarnya, (yang masyarakatnya sudah biasa dengan hukum itu) ada yang melakukan solat Zuhur berjamaah seperti biasa. Wallahu a’lam. Rujukan: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Imam An-Nawawi. 4/319-321, cet, Dar al-Ulum, Mesir. Al-Mughi, Ibn Qudamah. 3/242. Cet, 5. 1426H. Dar Alam Al-Kutub, Riyadh. Akhukum. Abu Anas Madani, Pondok Sg Durian. 29 Ramadhan 1431H – 8 Sep 2010. http://www.abuanasmadani.com

d. Ustaz Dr Rozaimi Ramle

 

 

Hukum Bela Burung Dalam Sangkar

IMG_8359.JPG

Apakah hukum membela burung dalam kurungan/sangkar?

Harus memelihara haiwan peliharaan seperti burung di dalam kurungan selagi haiwan tersebut diberi makan/minum dan tidak menzaliminya.

Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat tentang saudara Anas bin Malik yang digelar Abu Umair (أبو عمير) ada memelihara burung yang bernama al-Nughair (النُّغَيْرُ – seekor burung kecil). Suatu hari burung itu mati, lalu Abu Umair (masih budak) sedih dengan kematian burung kesayangannya itu. Lalu Nabi saw bergurau dengannya sambil bertanya: “Wahai Abu Umair, apa yang terjadi kepada al-Nughair.?”

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fath al-Bari berkata:

“Hadith ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi saw tidak mengingkari perbuatan Abu Umair.”

Al-Syeikh Abdul Azizi Abdullah bin Baz pernah ditanya dengan soalan ini:

“Apakah hukum orang yang menghimpunkan burung di dalam sangkar agar anak-anaknya bergembira/berhibur dengan burung-burung tersebut?”

Jawapan beliau: “Tidak mengapa perkara itu, jika disediakan kepada burung-burung tersebut keperluannya seperti makanan dan minuman, kerana asal dalam perkara ini adalah halal, dan tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya setakat pengetahuan kami.”

(Fatawa Ulama’ al-Bilad al-Haram, m.s. 1793)

Para ulama al-Lujnah al-Daimah berkata:

“Menjual burung yang cantik seperti burung kakaktua atau burung yang berwarna-warni dan burung kecil (البلابل) kerana suaranya adalah harus, kerana melihat dan mendengar suaranya perkara yang harus, tidak terdapat nas syara’ yang mengharamkan menjual dan memilikinya. Bahkan terdapat dalil yang boleh difahami akan keharusan mengurungnya jika diberi kepadanya makanan dan minuman dan apa yang sepatutnya.

Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada hadith Anas bin Malik, katanya:

‏ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا ، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ، قَالَ : أَحْسِبُهُ فَطِيمًا وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ

Maksudnya: “Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya dan aku punyai seorang saudara yang dipanggil Abu Umair, aku mengira dia seorang budak yang sudah berhenti susuan, dan apabila Nabi saw datang, baginda akan bertanya: Wahai Abu Umair, apa yang telah dilakukan al-Nughair?” Nughar (sejenis burung kecil) yang dimain oleh Abu Umair…” al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Syarhnya kepada Sahih al-Bukhari “Fath al-Bari” ketika menyebut beberapa faedah dari hadith ini berkata: “pada hadith ini adanya keharusan seorang budak bermain dengan burung, harus ibu-bapa meninggalkan anak kecil mereka bermain dengan apa yang diharuskan mereka bermain, harus menafkahkan sejumlah harta untuk keseronokan anak kecil dari perkara-perkara yang harus dan harus mengurung burung di dalam sangkar atau seumpamanya….” (Fatwa al-Lujnah al-Daimah, 13/38-40)

Zakat Fitrah: Dimana Perlu Bayar & Bila?

Sumber Dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Lihat Haasyiah as-Syalabi Syarh al-Zailaie (1/306) dan Nail al-Maarib (1/255).

Waktu Wajib Zakat Fitrah

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat antaranya:

Mazhab Hanafi menyatakan waktu wajib zakat fitrah bila keluarnya fajar pada hari raya. Ini juga salah satu pendapat yang ditashihkan oleh Mazhab Maliki. Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.

Waktu Yang Wajib Ditunaikan

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

Jumhur Hanafi berpendapat waktu menunaikan zakat fitrah bersifat keluasan. Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali.

Mengeluarkan Sebelum Waktu Wajib

Dalam hal ini para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

Mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat harus mendahulukannya daripada waktunya dua hari berdasarkan kepada kenyataan Ibn Umar R.Anhuma berkata:
كَانُوا يُعْطُونَ صَدَقَةَ الفِطْر قَبْلَ العِيدِ بِيَومٍ او يَوْمَينِ

Maksudnya : “Mereka di kalangan sahabat menunaikan zakat fitrah sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Pendapat Mazhab Syafie sunat dikeluarkannya sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.
Al-Hasan bin Ziyad berpendapat harus menunaiknnya daripada waktu setahun atau dua tahun sama seperti zakat. (Ini pendapat syaz dan asing) Pendapat sebahagian ulama Hanafi bahawa harus mendahuluinya hanya pada bulan Ramadan sahaja. Inilah pendapat yang ditashihkan dalam Mazhab Hanafi dan juga dalam Mazhab al-Syafie.

Di Mana Zakat Fitrah Perlu Dibayar

Setelah meneliti pendapat makanya zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, saya lebih cenderung kepada pendapat ihtiyat iaitu kita mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Justeru jika ketika itu beliau masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dia bayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

Berkenaan Dengan Kenyataan Imam an-Nawawi Dalam al-Majmu’

Imam Nawawi R.A menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر…في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.

Maksudnya : “Jika seseorang itu sewaktu zakat fitrah wajib (ke atasnya) berada di sebuah negeri, manakala hartanya berada di negeri lain, maka negeri mana satukah yang diambil kira ketika membayar zakat fitrah?”

Terdapat dua pandangan; salah satunya : yang diambil kira ialah negeri tempat di mana harta itu berada sama seperti zakat harta yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada.

Pendapat paling sahih daripada kedua-dua pandangan ini ialah yang diambil kira ialah negeri tempat di mana empunya harta berada.

Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang Imam Asy-Syirazi dalam kitabnya at-Tanbih, al-Jurjani dalam kitabnya at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi’e dan lain-lain.

Ulasan

Isu ini berkaitan antara seseorang yang perlu membayar zakat berada di satu negeri sedangkan hartanya berada di negeri lain. Justeru, berkenaan dengan zakat fitrah pula pada ghalibnya seseorang mempunyai duit atau harta bagi menunaikannya. Jadi isu ini berlainan daripada apa yang dibincangkan iaitu tempat mana yang perlu dibayar zakat fitrah. Makanya kita nyatakan pada waktu wajib di mana ia berada dan kami mentarjihkan agar zakat fitrah ditunaikan lebih awal daripada waktu wajib sehari atau dua hari seperti kenyataan Ibn Umar R.Anhuma.

Penutup

Semoga penjelasan ini akan dapat menyelesaikan maksud di mana zakat fitrah wajib dibayar dan saya ulangi sekali lagi bahawa kewajipan tersebut bergantung di mana dia berada pada waktu wajib zakat ditunaikan iaitu bermula pada malam raya sehingga sebelum solat hari raya. Walaupun begitu boleh kita bayar sehari atau dua hari sebelum hari raya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Marilah sama-sama kita mencari keredhaan Allah dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini agar kita meraih ketaqwaan.