Sombongkah Tidak Mengangkat Tangan Ketika Doa Khutbah Jumaat?

IMG_6331

Sering kedengaran kenalan yang mengeluh tentang makmum yang tidak menadah tangan doa ketika khutbah solat jumaat sebagai sombong, berhati busuk dan lain-lain. Walaupun amalan menadah tangan ni sudah menjadi ikutan makmum di Malaysia tetapi perkara ini adalah bukan sunnah.

Secara umum ada dalil yang menyaran untuk mengangkat tangan ketika berdoa seperti Sabda Rasulullah Shallahua’alaihi wassalam:

“Sesungguhnya Allah yang maha mulia, apabila hambanya mengangkat tangan kepadanya, ia tidak akan menolak dengan tangan kosong”. (HR At-Tirmizi no 3556, di sahihkan oleh Albani)

Namun bagi solat jumaat ketika khatib membaca doa didalam khutbah bukanlah sunnah untuk mengangkat tangan cuma cukup sekadar menunjuk dengan mengunakan jari telunjuk. Malah ada sahabat yang melarang khatib mengangkat tangan ketika berdoa.

“Dari ‘Umarah ibn Ru’aibah melihat Bashr ibn Marwan ketika diatas mimbar mengangkat tangan dia atas mimbar. Umarah berkata: Semoga Allah burukkan kedua tangan ini. Sesungguhnya aku tidak pernah melihat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam melakukan lebih daripada ini dengan tangannya dan beliau mengisyaratkan dengan jari telunjuknya. (Shahih Muslim, Kitab al-Jum’ah, Hadis no.873)

Menurut Imam an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim berkata:

Ini menunjukkan sunnah untuk tidak menadah tangan ketika khutbah. Ini merupakan pendapat Imam Malik, ulama-ulama mazhab kami (mazhab Syafie) dan selain mereka. Al-Qadhi meriwayatkan bahawa sebahagian ulama salaf dan sebahagian ulama maliki mengharuskan ia kerana Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam pernah menadah tangannya dalam khutbah Jumaat ketika memohon hujan. Ulama terdahulu menjawab bahawa baginda mengangkat tangan kerana sebab-sebab tertentu. (Syarah Sahih Muslil, jilid 6 m/s 162).

Berkata Syiekh Abdul Aziz bin Baaz rh:

 رفع اليدين غير مشروع في خطبة الجمعة ولا في خطبة العيد لا للإمام ولا للمأمومين ، وإنما المشروع الإنصات للخطيب والتأمين على دعائه بينه وبين نفسه من دون رفع صوت

“Mengangkat tangan tidak disyaratkan semasa khutbah Jumaat atau khutbah Eid, samada Imam atau makmum jemaah tersebut. Malah apa yang disuruh adalah mendengar khutbah dengan baik dan menyebut AMIN semasa Imam berdoa, tanpa meninggikan suara (cukup untuk diri sendiri mendengar AMIN).” (Majmu’ Fataawa wa Maqaalaat Mutanawwi’ah Li Samaahah al-Syeikh Ibn Baaz, 12/339)

Maka, mengangkat tangan berdoa ketika solat jumaat adalah tidak sunnah.