Sultan Ulama Al-Izz Ibn Abdul Salam

Sejarah berulang kembali, peristiwa-peristiwa yang berlaku di zaman dahulu berlaku juga di zaman sekarang. Sikap dan pendirian ulama’ silam menjadi penantian dan harapan ummah daripada ulama’ hari ini. Ummah telah melalui beberapa krisis yang sentiasa berulang, maka kita perlu kembali mengingati dan mengenangi peristiwa-peristiwa yang lalu semoga ianya dapat menjadi suatu pengajaran dan iktibar.

Kata Dr. Jamil al-Misry rahimahullah:  “Orang yang bijak ialah mereka yang sentiasa mengingati sejarah silam serta bersedia untuk menghadapi cabaran yang akan datang.”

Apabila membincangkan tentang amar ma’ruf – nahi mungkar, kita akan mengingati suatu sejarah yang berlaku pada kurun yang ke-7, iaitu ketegasan dan keberanian seorang ulama’ yang bangun menentang kemungkaran secara terang-terangan. Sepertimana yang dilakukan oleh seorang sahabat Nabi r, Abu Said al-Khudri t terhadap Marwan bin al-Hakam yang merupakan khalifah pada waktu itu. Peristiwa ini berlaku pada suatu Hari Raya. Apabila Marwan bangun untuk menyampaikan khutbah hari raya sebelum solat al-Eid, Abu Said al-Khudri segera menariknya turun serta mengingatkan bahawa sunnah khutbah adalah selepas solat. Marwan menjawab: “Sunnah itu telah pun ditinggalkan.”

Dalam lipatan sejarah ummah ini, telah lahir seorang ulama’ di Damsyik, Syria yang bernama Abdul Aziz bin Abdul Salam al-Sulami al-Dimasyqi al-Misri al-Syafie, beliau dikenali dengan panggilan al-Izz atau Izzuddin bin Abdul Salam. Beliau digelar Sultan Ulama’ dan Penjual Raja-Raja. Beliau dilahirkan pada tahun 577H dan meninggal dunia di Mesir pada tahun 660H.

Berikut adalah beberapa peristiwa yang menunjukkan ketegasan dan keberanian al-Izz dalam menentang kemungkaran:

1. Sewaktu di Damsyik, berlaku peristiwa perbalahan di antara pemerintah Damsyik, al-Saleh Ismail dan pemerintah Mesir, Najmuddin Ayyub. Apabila al-Saleh berasa gentar dengan ancaman Ayyub, beliau telah membuat satu pakatan dengan tentera kafir Salibiyyah untuk membantunya menentang saudaranya Ayyub dengan menjanjikan beberapa negeri dan kawasan kepada Salibiyyah. Peristiwa ini berlaku pada tahun 638H. Malah beliau juga memberi kebenaran kepada tentera-tentera Salibiyyah memasuki Damsyik dan membeli senjata bagi memerangi Muslimin. Setelah berita ini sampai kepada al-Izz yang merupakan khatib dan Mufti Damsyik pada waktu itu, beliau terus mengeluarkan fatwa haram menjual senjata kepada mereka. Beliau kemudian menaiki mimbar Masjid al-Umawi mengutuk dan mengecam tindakan al-Saleh tersebut, yang merupakan suatu pengkhianatan besar terhadap umat Islam. Beliau tidak lagi berdoa untuk sultan di dalam khutbahnya, sebaliknya berdoa dengan doa yang menunjukkan bahawa beliau telah menarik kembali bai’ahnya (taat-setianya). Pada masa itu al-Saleh berada di luar Damsyik. Apabila berita ini sampai kepadanya, baginda terus mengeluarkan arahan memecat al-Izz dari jawatan khatib dan mufti Damsyik serta mengarahkan supaya al-Izz ditangkap. Beliau menerima perlucutan jawatannya itu dengan tenang dan sedia berkorban demi menegakkan kebenaran dan mencegah kemungkaran.

Setelah dibebaskan dari penjara, al-Izz mengambil keputusan keluar dari Damsyik dan menuju ke al-Quds, Palestin. Kemudian tiba pula al-Saleh Ismail bersama tentera Salibiyyah yang dalam perjalanan menuju ke Mesir. Ketika berada di Quds, baginda menghantar seorang wakil untuk bertemu al-Izz serta memujuknya agar datang mengadap sultan dan mencium tangannya. Sekiranya beliau berbuat demikian, akan dikembalikan kepada beliau jawatan asalnya. Al-Izz dengan tegas menjawab: “Wahai si miskin! Aku sekali-kali tidak meredhai beliau mencium tanganku,  bagaiman pula aku sanggup mencium tangannya.”Utusan itu menjawab: “Jika tuan tidak menerima cadangan ini tuan akan ditangkap kembali.” Al-Izz menjawab: “Buatlah apa yang kamu suka.” Lalu al-Izz pun ditangkap kembali dan dikurung di dalam sebuah khemah yang berhampiran dengan khemah yang didiami oleh sultan dan ketua tentera Salibiyyah. Pada waktu malam terdengarlah suara al-Izz mengalunkan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dan zikir-zikir. Ketika itu al-Saleh Ismail memberitahu ketua Salibiyyah bahawa inilah ulama’ yang ditangkap kerana enggan bekerjasama dengan baginda. “Beliau ditangkap demi kepentingan kamu”, ceritanya dengan bangga. Ketua tentera Salibiyyah itu sebaliknya menjawab: “Kalaulah ulama’ ini di dalam agama kami, kami akan basuh kakinya dan meminum air basuhan tersebut”. Selepas itu datanglah tentera Ayyub dari Mesir lalu mengalahkan tentera al-Saleh Ismail dan sekutunya Salibiyyah. Akhirnya al-Izz dibebaskan dan dibawa ke Mesir.

2. Di Mesir. Kedatangannya pada tahun 639H telah disambut oleh Sultan Najmuddin Ayyub dengan penuh penghormatan. Namun di Mesir al-Izz berhadapan pula dengan kemungkaran-kemungkaran yang mesti ditentang dan dihapuskan. Najmuddin Ayyub adalah seorang yang sangat garang dan tidak banyak bercakap dengan pegawai-pegawainya kecuali sekadar menjawab pertanyaan sahaja. Untuk memperkukuhkan pemerintahannya Najmuddin Ayyub telah membeli beberapa orang hamba dari Turki dan mereka diberi latihan ketenteraan. Sebahagian daripada mereka telah mendapat kepercayaan daripada Ayyub sehingga dilantik memegang jawatan ketua tentera dan ada juga yang dilantik sebagai Naib Sultan. Al-Izz pula dilantik menjadi ketua hakim (Qadhi al-Qudhah) dan khatib Mesir. Ketika melaksanakan tugasnya, al-Izz mendapati wujud beberapa kepincangan dalam pemerintahan, antaranya; beberapa orang Umara’ (pemimpin) masih lagi daripada golongan hamba yang menjadi milik Baitulmal Muslimin. Mengikut hukum syara’, perlantikan mereka ke jawatan-jawatan tersebut tidak sah dan tindakan mereka terbatal. Antara mereka ialah Naib Sultan sendiri. Al-Izz lalu memaklumkan kepada mereka tentang kedudukan mereka di sisi syara’ dan mengambil tindakan membekukan segala tindakan mereka. Keputusan tersebut telah menimbulkan kemarahan dan tidak puas hati di kalangan umara’ yang masih merupakan golongan hamba. Mereka mengadakan pertemuan dengan Syeikh al-Izz untuk mendapat kerjasama dan penjelasan tentang masa depan dan kedudukan mereka. Tetapi al-Izz mengambil sikap tegas dalam keputusannya bahawa mereka hendaklah dijual secara lelongan terbuka, kemudian dibebaskan mengikut hukum syara’.

Keputusan hukum syara’ tersebut bukan sahaja ditolak dan ditentang bahkan al-Izz diberi layanan kasar oleh Sultan Mesir sendiri. Oleh kerana itu al-Izz membuat keputusan meninggalkan negeri yang enggan melaksanakan Syariah Allah itu. Keputusan tersebut dilaksanakan serta merta. Dengan menggunakan dua ekor keldai, seekor untuk isteri dan barangannya dan seekor lagi untuk tunggangannya, maka keluarlah al-Izz dari Kaherah. Setelah berita al-Izz keluar dari Kaherah diketahui umum, orang ramai dari segenap lapisan masyarakat mengambil keputusan untuk keluar bersama-sama al-Izz dari negeri tersebut, sebagai penentangan terhadap pemerintah yang enggan melaksanakan syariat Allah. Di sini bermulalah detik pertama, Sultan telah diberi nasihat oleh seorang penasihat yang jujur dengan kata-kata: “Selamatkanlah kerajaanmu! Jika tidak ia akan binasa dengan pemergian al-Syeikh”. Mendengar nasihat itu bergegaslah Sultan menunggang kuda mendapatkan al-Izz untuk memujuk dan melembutkan hatinya supaya kembali semula ke Kaherah. Beliau setuju dengan permintaan sultan itu, dengan syarat semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba itu hendaklah dijual secara lelong terbuka. Kembalilah al-Izz bersama pengikutnya. Benarlah, sesungguhnya kebenaran dan keadilan mengalahkan kebatilan dan kezaliman.

Setelah al-Izz kembali ke Kaherah dengan syarat tersebut, Naib Sultan cuba campur tangan dalam keputusan yang telah dibuat. Mula-mula dia cuba memujuk al-Izz, setelah tidak berjaya dia mengalih kepada ugutan dan akhir sekali cuba untuk membunuh al-Izz. Setelah semua cara yang digunakan menemui kegagalan akhirnya semua pegawai kanan kerajaan di kalangan hamba termasuklah Naib Sultan sendiri terpaksa tunduk kepada keputusan yang dibuat dan menerima hukuman syara’.

Al-Izz mengiklankan jualan secara lelong terbuka kepada semua rakyat. Beliau memanggil pegawai kanan kerajaan tersebut seorang demi seorang dan menaikkan harganya sedikit demi sedikit, sehingga sampai kepada harga yang paling tinggi dan tidak mampu lagi dibeli oleh orang perseorangan, maka Sultan Najmuddin membeli mereka itu dengan wangnya sendiri. Kemudian hamba-hamba tersebut dibebaskan dan jawatan-jawatan mereka yang telah dibekukan itu dikembalikan semula. Akhirnya mereka bertugas seperti biasa. Dari peristiwa inilah as-Syeikh al-Izz rahimahullah dikenali sebagai ‘Penjual Raja-Raja’. Masyhurlah kisah ini keseluruh dunia. Pendirian unggul yang belum pernah disaksikan oleh alam ini, telah menjadi satu catatan sejarah. Suara kebenaran kembali berkumandang, ulama’ dimartabatkan, Syariah Allah dilaksanakan, kebatilan dikalahkan, kekuasaan kerajaan dan kebendaan hancur berkecai dan tersungkur di hadapan kerajaan Allah dan hukum-hukum-Nya. Al-Izz telah mengamalkan kehendak hadis Rasulullah sallallahu’alaihiwassalam yang bermaksud: “Jihad yang paling afdhal ialah memperkatakan kebenaran di hadapan pemerintah yang zalim”. [Hadis riwayat Ibnu Majah; Sahih Ibnu Majah No. 3240] Kembalilah al-Izz ke rumahnya dalam jagaan Allah dan pemeliharaan-Nya sambil membaca firman Allah yang bermaksud: {Sesungguhnya Allah akan mempertahankan orang-orang yang beriman. Sesungguhnya Allah tidak menyukai semua pengkhianat lagi kufur”}. [Al-Haj:38]. Beliau juga membaca firman Allah yang bermaksud: {Dan Allah amat berkuasa melakukan segala perkara yang telah ditetapkan-Nya, akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui”}. [Yusuf :21]. Demikianlah ketegasan seorang ulama’ yang telah melaksanakan amanah yang dipikulnya. Memang ummah ini telah diberi gelaran ‘khaira ummah‘ oleh Allah kerana tugas mereka mengajak manusia ke jalan yang benar, sebagaimana firmanNya yang bermaksud: {Kamu adalah ummat yang terbaik dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada ma’ruf dan mencegah daripada mungkar dan beriman kepada Allah”}. [Ali Imran:110]. Ummah sentiasa menanti tindakan yang dilakukan oleh ulama’ apabila berlakunya kemungkaran dan mereka akan bersama para ulama’ tersebut, tetapi apabila lesunya ulama’ dalam menangani masalah ummah maka berleluasalah segala bentuk maksiat dan kemungkaran. Di sini dapat diperhatikan betapa pentingnya kesatuan ulama’ (wehdatul ulama’). Apabila seorang daripada kalangan ulama’ menegur kemungkaran yang dilakukan oleh pemerintah atau sesiapa saja, maka yang lain hendaklah memberi sokongan sebagaimana yang berlaku kepada al-Izz, bukannya mengeluarkan fatwa lain yang bercanggah sebagaimana yang berlaku kepada ummah sekarang. Contohnya; apabila seorang ulama’ mengajar kaum wanita supaya menutup aurat dan tidak bertabarruj, sepatutnya semua ulama’ menyokong dan bukannya mengeluarkan kenyataan kononnya ajaran tersebut menyekat hak individu dan sebagainya. Atau membuat tafsiran yang mengelirukan ummah dengan berselindung di sebalik slogan “kesederhanaan Islam”. Secebis peristiwa di atas adalah contoh ketegasan ulama’ ummah yang menjadi obor dan panduan di jalan dakwah. Sesungguhnya amat benar firman Allah yang bermaksud: {Di antara orang-orang mukmin itu terdapat golongan yang telah menepati perjanjian mereka kepada Allah, maka di antara mereka ada yang telah gugur (syahid) dan ada pula yang menunggu-nunggu, dan mereka sedikit pun tidak mengubah (janjinya)}. [al-Ahzab:23].  Akhukum fil Islam,Abu Anas Madani. Al-Madinah Al-Munawwarah

Dari sumber: http://www.abuanasmadani.com

Rambut Rasulullah SAW

Dari video Kuliah Maulana Muhammad Asri.

Rasulullah hanya bercukur 3 atau 4 kali kepala sahaja. Sesetengah orang berpendapat mencukur secara kerap sehingga 40 kali untuk menjadikan anak-anak bijak tidak ada asasnya. Sunnah nabi adalah  menyimpan rambut. Rambut Rasulullah terbahagi pada 3 iaitu:

a) Wafrah – Rambut hingga paras cuping telinga.

b) Limmah – Rambut hingga paras ke leher.

c) Jummah- Rambut hingga mencecah bahu.

Hadis dari Syamail Muhammad Imam al-Tirmizi

1) Anas Ibnu Malik meriwayatkan

” Panjang rambut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam sampai setengah telinga beliau”

(Riwayat Tirmizi, Muslim, Abu Dawud, Nasai dan Ahmad)

2) Qatadah bertanya kepada Anas,

“Seperti apa ciri-ciri rambut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam?” Anas menjawab ” Rambut Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam berada di tengah-tengah antara kerinting dan lurus, sementara panjangnya mencapai bagian bawah daun telinganya”

(Riwayat Tirmizi, Bukhari,Muslim, Nasa’i dan Ahmad)

3) Ibnu Abbas meriwayatkan,

“Pada awalnya, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam biasa membiarkan rambut beliau tergerai. Saat itu, orang-orang musyrik merapikan rambut mereka, sementara ahlul kitab selalu membiarkan rambut mereka tergerai. Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam lebih suka meniru perilaku ahlul kitab selama belum ada ketentuan dari Allah. Kemudian Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wassalam selalu merapikan rambut beliau.”

(Riwayat Tirmizi, Bukhari, Muslim, Abu Dawud, Ibnu Majah dan Ahmad)

Tazkirah Selepas Pengkebumian Jenazah

Cara tazkirah selepas pengkebumian Jenazah oleh Ustaz Hussein Yee.

Zikir Selepas Solat

Ayyuhal Walad,

Menurut Al Imam Al-Syafi’i mengenai zikir selepas solat dalam kitab utamanya Al-Umm:

” Pendapatku untuk imam dan makmum hendaklah mereka berzikir selepas selesai solat. Hendaklah mereka mensenyapkan zikir, kecuali jika imam mahu dipelajari daripadanya (bacaan-bacaan zikir) maka ketika itu dijelaskan zikir, Sehingga apabila didapati telah dipelajari daripadanya. Maka selepas itu hendaklah dia perlahankan.

Adapun mengenai hadith Ibnu ‘Abbas:

” Sesungguhnya mengangkat suara dengan zikir setelah orang ramai selesai solat fardu berlaku pada zaman Nabi Shalallahu alaihi wassalam.”

Al-Imam Al-Syafi’i menjelaskan seperti berikut:

(Aku berpendapat baginda menjelaskan suara(zikir) hanya seketika. Untuk orang ramai mempelajarinya dari baginda. Ini kerana kebanyakan riwayat yang telah kami tulis bersama ini, atau selainnya tidak menyebut selepas salam tahlil dan takbir. Kadang kala riwayat menyebut baginda berzikir selepas solat seperti yang aku nyatakan, kadang kala disebut baginda pergi tanpa zikir. Ummu Salamah pula menyebut duduk baginda (selepas solat) tetapi tidak menyebut baginda zikir secara tidak terang. Aku berpendapat baginda tidak duduk melainkan untuk berzikir secara tidak terang. Jika seseorang berkata: Seperti apa?. Aku katakan: Seperti baginda pernah bersolat di atas mimbar, yang mana baginda berdiri dan rukuk diatasnya, kemudian baginda undur ke belakang untuk sujud di atas tanah. Kebanyakan umur baginda, baginda tidak solat diatasnya. Tetapi aku berpendapat baginda mahu agar sesiapa yang jauh yang tidak melihat baginda mengetahui bagaimana berdiri (dalam solat), rukuk dan bangun (dari rukuk). Baginda ingin mengajar mereka keluasan dalam itu semua. Aku suka sekiranya imam berzikir nama Allah ditempat duduknya sedikit dengan kadar yang seketika selepas kaum wanita pergi. Ini seperti apa yang Umm Salamah katakan. Kemudian imam boleh bangun. Jika dia bangun sebelum itu, atau duduk lebih lama dari itu, tidak mengapa. Makmum pula boleh pergi setelah imam selesai memberi salam, sebelum imam bangun. Jika dia lewatkan sehingga imam pergi, atau bersama imam, itu lebih aku sukai untuknya).

Rujukan: Al-Syafi’i, Mausu’at al-Imam al Syafi’i: Al-Umm 1/353

Muharram: Puasa ‘Asyura & Tasu’a

Ayyuhal Walad,

1) Bulan Muharram

merupakan salah satu dari empat bulan haram yang telah ALLAH muliakan dan Allah melarang berbuat zalim pada bulan ini untuk menunjukkan kehormatannya.  Allah Ta’ala berfirman:

                                                                                                                             فَلا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُم

Maksudnya:  “Maka janganlah kamu menganiaya diri kamu dalam bulan yang empat itu.”

(Surah At-Taubah, 9: 36)

Amalan yang dianjurkan oleh Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam untuk dilaksana pada bulan ini ibadah puasa.  Baginda menganjurkan untuk memperbanyak puasa di dalamnya.

Dari Abu Hurairah radhiAllahu `anhu berkata, Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

                                           أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلَاةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلَاةُ اللَّيْلِ

Maksudnya:  “Puasa yang paling utama sesudah puasa Ramadhan adalah puasa pada Syahrullah (bulan ALLAH) Muharram. Sedangkan solat malam merupakan solat yang paling utama sesudah shalat fardlu.“

(HR. Muslim, no. 1982)

Menurut Imam Al-Qaari berkata, bahwa secara zahir, maksudnya adalah seluruh hari-hari pada bulan muharram ini.  Tetapi telah disebutkan dalam hadith sahih bahawa Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam tidak pernah sama sekali berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadhan.  Maka hadith ini difahami, dianjurkan untuk memperbanyakkan puasa pada bulan Muharram bukan seluruhnya.

2) Puasa ‘Asyura

Dianjurkan berpuasa pada hari `Asyura khususnya.  Berpuasa pada hari tersebut menghapuskan dosa setahun yang lalu.

Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda:

                                                                          وَصِيَامُ يَوْمِ عَاشُورَاءَ أَحْتَسِبُ عَلَى اللَّهِ أَنْ يُكَفِّرَ السَّنَةَ الَّتِي قَبْلَهُ

Maksudnya:  “Puasa hari `Asyura, sungguh aku berharap kepada ALLAH agar menghapuskan dosa setahun yang telah lalu.“

(HR. Muslim no. 1975)

3) Bilakah ‘Asyura?

Hari kesepuluh dari bulan Muharram.  Demikianlah pendapat jumhur ulama dan yang nampak dari zahir hadith berdasarkan kemutlakan lafaznya dan yang sudah ma`ruf menurut ahli bahasa. (Disarikan dari al-Majmu’ oleh Imam al-Nawawi)

Ibnu Qudamah berkata, `Asyura adalah hari kesepuluh dari bulan Muharram.  Ini merupakan pendapat Sa’id bun Musayyib dan al-Hasan al-Bashri yang sesuai dengan riwayat dari Ibnu ‘Abbas, “Rasullah sallAllahu `alaihi wa sallam memerintahkan berpuasa pada hari ‘Asyura, hari kesepuluh dari bulan Muharram.”

(HR. al-Tirmidzi, beliau menyatakan hadith tersebut hasan sahih)

4) Hari Tasu`a

Disunnahkan juga berpuasa pada hari sebelumnya, yaitu tanggal Sembilan Muharram yang dikenali dengan hari Tasu`a.

Diriwayatkan dari Ibnu Abbas radhiAllahu `anhuma beliau berkata:

“Ketika Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam berpuasa pada hari `Asyura dan memerintahkan para sahabat untuk berpuasa padanya, mereka menyampaikan: “Wahai Rasulullah, sesungguhnya hari itu adalah hari yang diagungkan oleh orang Yahudi dan Nasrani.”

Lalu Baginda sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda: “Kalau begitu, pada tahun depan in shaa’ ALLAH kita berpuasa pada hari kesembilan”.

Dan belum tiba tahun yang akan datang, Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam sudah wafat.”

(HR. Muslim, no. 1916)

Berkata Imam al-Syafi’i dan para sahabatnya, Ahmad, Ishaq dan selainnya, “Disunnahkan berpuasa pada hari kesembilan dan kesepuluh secara keseluruhan, kerana Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam telah berpuasa pada hari ke sepuluh dan berniat puasa pada hari kesembilan.”

5) Hikmah Berpuasa Hari Tasu`a

Imam al-Nawawi rahimahullah menyebutkan tentang tiga hikmah dianjurkannya siyam hari Tasu`a:

Pertama, maksud disyariatkan puasa Tasu`a untuk menyelesihi orang Yahudi yang berpuasa hanya pada hari ke sepuluh.

Kedua, maksudnya adalah untuk menyambung puasa hari `Asyura dengan puasa di hari lainnya, sebagaimana dilarang berpuasa pada hari Jumaat saja.  Pendapat ini disebutkan oleh al-Khathabi dan ulama-ulama lainnya.

Ketiga, untuk kehati-hatian dalam pelaksanaan puasa `Asyura, dikhawatirkan hilal berkurang sehingga terjadi kesalahan dalam menetapkan hitungan, hari ke Sembilan dalam penanggalan sebenarnya sudah hari kesepuluh.

Dan alasan yang paling kuat disunnahkannya puasa hari Tasu’a adalah alasan pertama, yaitu untuk menyelisihi ahli kitab. Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah dalam al Fatawa al-Kubra berkata, “Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam melarang bertasyabbuh dengan ahli kitab dalam banyak hadith.  Seperti sabda beliau tentang puasa `Asyura:

                                                                                                             لَئِنْ عِشْتُ إلَى قَابِلٍ لاَصُومَنَّ التَّاسِعَ

Maksudnya:  “Jika saya masih hidup di tahun depan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan.”

(HR. Muslim)

Ibnu Hajar rahimahullah dalam catatan beliau terhadap hadith, “Jika saya masih hidup di tahun depan, pasti akan berpuasa pada hari kesembilan”, Keinginan beliau untuk berpuasa pada hari kesembilan dibawa maknanya agar tidak membatasi pada hari itu saja.  Tapi menggabungkannya dengan hari ke sepuluh, baik sebagai bentuk kehati-hatian ataupun untuk menyelisihi orang Yahudi dan Nasrani.  Dan ini merupakan pendapat yang terkuat dan yang disebutkan oleh sebahagian riwayat Muslim.”

6) Bolehkah Berpuasa Pada Hari ‘Asyura Saja?

Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah rahimahullah dalam al-Fatawa al-Kubra Juz ke IV berkata, “Puasa hari ‘Asyura menjadi kafarah (penghapus) dosa selama satu tahun dan tidak dimakruhkan berpuasa pada hari itu saja.”

Sedangkan Ibnu Hajar al-Haitami dalam Tuhfah al-Muhtaj menyimpulkan bahwa tidak apa-apa berpuasa pada hari itu saja.

7) Hadith-Hadith Mengenai Puasa pada Muharram

Telah menceritakan kepada kami Abu Al Yaman telah mengabarkan kepada kami Syu’aib dari Az Zuhriy berkata, telah mengabarkan kepada saya ‘Urwah bin Az Zubair bahawa ‘Aisyah radliallahu ‘anha berkata:”

 Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam memerintahkan puasa pada hari ‘Asyura (10 Muharram). Setelah diwajibkan puasa Ramadhan, maka siapa yang mahu silakan berpuasa dan siapa yang tidak mahu silakan berbuka (tidak berpuasa).

(Hadith Al Bukhari no: 1862)

Telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Hisyam bin ‘Urwah dari bapanya bahwa ‘Aisyah radliallahu’anha berkata: “Orang-orang Quraisy pada masa jahiliyah melaksanakan puasa hari ‘Asyura dan Rasulullah Shallallahu’alaihi wasallam melaksanakan nya. Ketika beliau sudah tinggal di Madinah beliau tetap melaksanakannya dan memerintahkan orang-orang untuk melaksanakannua pula. Setelah diwajibkan puasa Ramadhan beliau meninggalkannya. Maka siapa yang mahu silakan berpuasa dan siapa yang tidak mahu silakan meninggalkannya”.

(Hadist Al Bukhari no: 1863)

Telah menceritakan kepada kami ‘Abdullah bin Maslamah dari Malik dari Ibnu Syibah dari Humaid bin ‘Abdurrahman bahwa dia mendengar Mu’awiyah bin Abu Sufyan radliallahu anhuma pada hari ‘Asyura ketika tahun penyelenggaraan haji dari atas mimbar berkata: Wahai penduduk Madinah, mana para ulama kalian? Aku pernah mendengar bersabda;” Ini adalah hari ‘Asyura dan Allah belum mewajibkan puasa atas kalian dan sekarang aku sedang berpuasa, maka siapa yang mahu silakan berpuasa dan siapa yang tidak mahu silakan berbuka (tidak berpuasa).

(Hadist Al Bukhari no: 1864 )

Telah menceritakan kepada kami Abu Ma’mar telah menceritakan kepada kami ‘Abdul Warits telah menceritakan kepada kami Ayyub telah menceritakan kepada kami Abdullah bin Sa’id bin Jubair dari bapanya dari Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘anhuma berkata:

“ketika Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam telah sampai dan tinggal di Madinah, Beliau melihat orang-orang yahudi melaksanakan puasa hari ‘Asyura lalu beliau bertanya: “Kenapa kalian mengerjakan ini?” Mereka menjawab: “Ini adalah hari kemenangan, hari ketika Allah menyelamatkan Bani Isra’il dari musuh mereka lalu Nabi Musa Alaihissalam menjadikannya sebagai hari berpuasa”. Maka beliau bersabda: “Aku lebih berhak dari kalian terhadap Musa”. Lalu beliau memerintahkan untuk berpuasa.

(Hadist Al Bukhari no: 1865 )

Telah menceritakan kepada kami ‘Ali bin Abdullah telah menceritakan kepada kami Abu Usamah dari Abu ‘Umais dari Qais bin Muslim dari Thoriq bin Sihab dari Abu Musa radliallahu ‘anhu berkata: “Hari ‘Asyura telah dijadikan oleh orang-orang Yahudi sebagai hari raya mereka, maka Navi shallallahu ‘alaihi wassalam bersabda: ” Berpuasalah kalian pada hari itu”.

(Hadist Al Bukhari no: 1866)

Telah menceritakan kepada kami ‘Ubaidullah bin Musa dari ‘Uyainah dari ‘Ubaidullah bin Abu Yazid dari Ibnu ‘Abbas radliallahu ‘amhuma berkata. ” Tidak pernah aku melihat Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sengaja berpuasa pada suatu hari yg beliau istimewakan dibanding hari-hari lainnya kecuali hari ‘Asyura dan bulan ini, yaitu bulam Ramadhan”.

(Hadist Al Bukhari no: 1867)

8) Komen Hari ‘Asyura dan Yom Kippur dari Ust Fathi Ali

Hari ‘Asyura bermaksud 10 Muharram, ia merujuj kepada 10 Muharram bagi kalendar hijri muslim (sistem anak bulan/lunar) dan 10 haribulan bulan ke-7 bagi kalendar yahudi (sistem anak bulan-matahari/lunar-solar). Yahudi memanggilnya hari ‘Yom Kippur’ atau ‘The Day of Atonement’, iaitu hari memperingati Allah dari pemerintah mesir zamannya. Nabi Musa AS yang memulakan puasa pada hari ‘Asyura, kemudian diikuti para yahudi dan dikekalkan Rasulullah Muhammad. Saban tahun pada hari ‘Ayura berdasarkan sistem kiraan kalendar masing-masing (lunar vs lunar-solar) kaun muslimin dan yahudi akan berpuasa mengikut tatacara puasa masing-masing (muslim berpuasa dari terbit fajar hingga terbenam matahari dan yahudi berpuasa selama 25 jam). Kaum muslimin juga digalakkan (bukan wajib) agar turut berpuasa tasu’a agar tampak berbeza dari yahudi yang hanya berpuasa pada hari ‘asyura.

Rujukan :

  1. voa-islam.com
  2. shahmuzir.wordpress.com
  3. http://www.alsadiqin.org/en/index.php?title=The_Prophet%E2%80%99s_(pbuh)_Encounter_with_Yom_Kippur_(Ashura),_622_CE 

Muharram: Doa Awal dan Akhir Tahun

Ayyuhalwalad,

Setiap kali menjelangnya awal Muharram, kebanyakan orang menganjurkan utk membaca doa awal dan akhir tahun. Ini telah pun berlarutan dari zaman persekolahan lagi oleh para guru agama, sehinggakan rasa terkeliru ia adalah di anjurkan oleh Rasulullah Shalallahu alaihi wassallam.

Image

Diatas adalah doa- doa tersebut dengan fadilatnya. Namun, ianya adalah bukan anjuran dari Rasulullah Shalallahu ‘alaihi wassalam dan penjelasan mengenai doa-doa ini telah pun dikongsi di Catatan Abu Umair.

Menjadi kelaziman sebahagian orang Islam, apabila berakhir bulan Zulhijjah yang memberi erti bermulanya tahun baru Hijrah, mereka melakukan satu upacara doa yang dikenali dengan ‘Doa Awal dan Akhir Tahun’. Ia dibaca selepas waktu Asar, atau sebelum Maghrib pada hari terakhir bulan Zulhijjah. Lafaz doanya ‘disunatkan’ dibaca sebanyak tiga kali. Dan dikatakan fadilat doa ini ialah apabila dibaca, maka syaitan akan berkata, “Kesusahan bagiku, dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada setahun ini dan Allah binasakan aku satu saat jua”. Disebut juga, dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.

Begitulah besarnya kelebihan yang disebut-sebut tentang doa awal dan akhir tahun ini. Tidak hairan, ramai yang mempercayainya dengan harapan memperoleh kelebihan itu. Sehingga di sesetengah sekolah, asrama, atau pejabat-pejabat, ia dibaca secara berkumpulan, dengan dipimpin oleh seorang ustaz selaku tekong dalam upacara doa tersebut dan di’amin’kan oleh jemaah.

Jika diteliti doa awal dan akhir tahun tersebut, diakui bahawa lafaz Arabnya sangat elok, susunan kata-katanya menarik, dan maksud kandungan doa juga tidak bersalahan dengan mana-mana prinsip syarak.

Tetapi, oleh kerana doa ini ditetapkan lafaz bacaannya, bilakah waktu dibaca, berapa kali bacaannya diulangi, dan apakah fadilatnya, maka upacara membaca doa ini adalah termasuk dalam bidaah. Kerana bacaan doa ini tidak pernah direkodkan dalam mana-mana kitab hadis muktabar, tidak pernah dinukilkan amalannya di kalangan para sahabat, tabien dan para salaf, dan tidak disebut pun oleh imam-imam yang masyhur.

Sedangkan kita tahu doa adalah ibadah. Dan dimaklumi bahawa ibadah bersifat tauqifiyyah iaitu mesti diambil asal dan kaifiatnya daripada syarak. Tetapi, dalam persoalan doa awal dan akhir tahun ini, tidak didapati sebarang asas pun daripada nas-nas syarak.

Syeikh Bakr Abu Zaid –rahimahullah– menyebut satu kaedah dalam amalan doa, iaitu: Setiap orang yang mengada-ngadakan sesuatu dalam urusan ibadah seperti doa dan zikir dalam bentuk yang ditetapkan dengan menganggap ia adalah satu sunnah, sedangkan ia bukan daripadanya, maka dia dihukum berdosa.

Alasannya perbuatan ini adalah satu bentuk meninggalkan perkara yang disyariatkan, satu penambahan terhadap syarak, satu galakan terhadap amalan yang bukan daripada syarak, dan menyebabkan orang awam menyangka bahawa ia suatu yang masyruk. (Tashih Ad-Dua: 44)

Apabila dikatakan bahawa ia bidaah, pasti ada suara membantah, “Sikit-sikit bidaah, apa salahnya berdoa?”. Ya, berdoa tidak salah. Ibadah doa boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai.  Termasuklah berdoa pada tarikh 29 Zulhijjah. Yang salahnya ialah menetapkan bentuknya seolah-olah ia daripada syarak. Ditambah pula dengan fadilat palsu tentang kata-kata syaitan begitu dan begini, dan jaminan pengampunan dosa selama setahun. Ini semua perkara ghaib yang mesti diambil daripada nas-nas sahih.

Ada juga mengatakan, “Perkara kecil seperti ini pun hendak diperbesar-besarkan?”. Jawapan kepada persoalan ini ialah kata-kata Imam al-Barbahari, “Dan awaslah kamu daripada perkara-perkara kecil yang diada-adakan, kerana bidaah-bidaah kecil akan berulang hingga ia menjadi besar”.

Ibn Taimiyyah pula mengatakan, “Bidaah-bidaah pada permulaannya hanya sejengkal. Kemudian ia bercambah di kalangan pengikut-pengikut, hingga menjadi beberapa hasta, beberapa batu dan beberapafarsakh“. (Satu farsakh bersamaan 3 batu).

Oleh itu,  janganlah dipandang mudah terhadap perkara-perkara kecil yang menyalahi syariat, apatah lagi termasuk dalam bidaah. Dan yakinilah bahawa setiap amalan ibadah yang dilakukan, sedangkan ia bukan daripada agama, maka amalan itu ditolak oleh syarak. Wallahu A’lam.

Abu Umair,

28 Zulhijjah 1429

Bulan Muharram: Yang Dikelirukan

Masuknya bulan muharram ni banyak pesanan-pesanan berantai mengenai kelebihan nya. Di antaranya:-

Kawan2 hari selasa tanggal 5 november 2013 sudah mula bulan muharram, bulan dimana catatan amal kita ditutup, diserahkan kepada Allah SWT dan diganti yg baru. Sebelum catatan amalku ditutup saya ingin minta maaf kepada kamu semua jadi tolong maafkan ya!.

Ada baiknya teruskan copy n paste ini kepada kawan2 kita kerana “Barang siapa yg memperingatkan bulan muharram kepada saudara semuslim nya maka api neraka diharamkan menyentuhnya.. semoga Amalan kita di terima Allah..
amin ya’Allah…

Alhamdulillah, ada nya hamba Allah yang memberi penjelasan mengenai bulan muharram tersebut.

Antaranya, hijrah Nabi saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yg baru.

HIJRAH

Hijrah Nabi saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat2 lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum baginda.Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi’ul Awwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram.

Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yg kita dendangkan semenjak kecil dahulu…”Satu Muharram detik permulaan….perpindahan nabi dan umat Islam…”
Agak pahit utk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan,  tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.

Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab ra memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yg lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah nabi saw. Pada tahun nabi berhijrah itu, nabi berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.

DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)

Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita cthnya, “Ya  Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku.”

Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yg dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama, kerana ia disandarkan kpd sebuah riwayat ‘yang antaranya menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pd tahun itu.’

Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber. 

Tiada dalam kitab2 hadith mu’tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yg batil.
Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

CATATAN AMALAN

Dakwaan yg mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir zulhijjah, dan dibuka pada awal muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith nabi saw.

Hadith2 yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada :

1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu syaaban.  -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)

Hadith2 sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :

1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ‏”‏‏.
Nabi saw bersabda, maksudnya : 
“Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu – walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2Nya :
‘Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba2Ku itu?’
Jawab para malaikat : ‘Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'”
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. )

-Hadith Sahih-

Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا ‏”‏ ‏.‏
Nabi saw bersabda, maksudnya :
“Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hambaNya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, ‘Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai.”
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.)    

-Hadith Sahih.-

3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)

عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.
Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, “Saya pernah bertanya, ‘Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?’
Jawab Rasulullah saw, “Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'”
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.)
-Hadith Hasan-

BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?

Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu. 

Agak pelik bila lafaz yg sama juga disebarkan untuk bulan2 lain.

“Barangsiapa yg memperingatkan bulan syaaban….”

“Barangsiapa yg memperingatkan bulan zulhijjah….”

“Barangsiapa yg  memperingatkan bulan rejab…”

Berdasarkan panduan para ulama dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu). 

Sebarkanlah penjelasan tentangnya.

Kesimpulan :

Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :

عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ ‏”‏ بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ‏”‏‏.
Nabi saw bersabda, maksudnya, “Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka.”
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)

    والله اعلم.