Maulana Asri Yusoff – Benarkah Wanita Bersuami Tidak Wajib Bertanggungjawab kepada Kedua Ibubapanya?

Advertisements

Ketentuan Harga dari Allah

Memang benar, ketentuan harga adalah dari Allah swt, malah semua perkara juga demikian. Namun mengajak beriman dan pasrah terus sambil mengabaikan arahan Allah dan RasulNya agar berusaha membanteras unsur kezaliman , ketidakstabilan dan kelemahan yang mengganggu proses harga adalah kaedah berfikir yang SALAH. Lihat Allah swt mengharamkan Riba. Begitu juga haramnya BAI’ AN-NAJASH kerana manipulasi harga sebenar secara terancang oleh rakan penjual, HARAMNYA Jualan TALAQQI AL-RUKBAN kerana menganggu harga pasaran, DIHARAMKAN juga IHTIKAR (simpanan barangan asasi agar naik harga kerana demand secara paksaan dicipta). Justeru, fahamilah hadis berkaitan ‘harga adalah ketetapan Allah’ beserta hadis-hadis yang berkaitannya. Jika tidak, anda mungkin melencong dari kefahaman yang betul.

Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang TIDAK TERDESAK. Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam juga menolak permintaan sahabat baginda untuk melakukan ‘ceiling’ harga di ketika pasaran tidak diserapi unsur zalim oleh peniaga dan tiada campurtangan dalam ketetapan harga, tiada gangguan pada permintaan serta penawaran Sebagaimana respon dan jawapan Nabi salla Allahu ‘alaihi wasallam kepada sahabat baginda :
بل الله يخفض ويرفع , وإني لأرجو أن ألقى الله وليس أحد منكم يطالبني بمظلمة في دم أو مال
Ertinya : Bahkan Allah SWT adalah yang menaik dan menurunkan harga, dan sesungguhnya akhu berharap untuk bertemu Allah dan tiada seorang pun dari kalangan kamu menuntut dariku akibat sebarang kezaliman ( yang aku lakukan) samada berkaitan darah atau harta” ( Riwayat Abu Daud ; hlm 385 ; Al-Bayhaqi, 6/29 ; Sohih menurut Albani)

Namun kemudiannya, ulama terulung dari kalangan Tabi’en seperti Imam Sa’id Musayyab, Yahya Sa’id Ansari, Imam Malik dan ramai lagi ulama tabien sezaman dan yang selepasnya bersetuju ia dilaksanakan dalam suasana peniaga sengaja menyekat barangan bertujuan untuk memaksa harga naik disebabkan permintaan meningkat mendadak. Sebagai jalan menghalang kezaliman dari berlaku.

Sheikhuna Prof. Dr. Fathi Al-Durayni menjelaskan tas’ir diterima kemudian oleh para ulama mujtahidin tabien bagi mencapai maqasid atau objektif yang disasarkan oleh Nabi s.a.w sendiri semasa baginda menolak tas’ir. Iaitu Baginda menolak kerana tidak mahu berlaku kezaliman kepada pengguna dan peniaga. (Manahij Al-Ijtihad, Dr Fathi Ad-Durayni, hlm 159)

Ulama tabien pula membenarkan tas’ir kerana berubahnya suasana dan keperluan di ketika zaman mereka, lalu mereka menerima tasi’r. Jelas dari isu ini, objektif adalah sama cuma bentuknya berbeza.

Dr. Zaharuddin Abd Rahman
9 Sept 2013

Hadith Berkaitan Taat Pada Suami

Hadith-hadith berkaitan dengan ketaatan wanita pada suami dibentangkan oleh Maulana Asri Yusoff. Antara perkara yang disampaikan:

  1. Hadith-hadith yang berkaitan dengan wanita banyak yang palsu. Antara kisah wanita bernama Mutiah yang mendapat syurga kerana di pukul oleh suaminya dan ada juga kisah dalam Ihya’.
  2. Adanya kisah-kisah begini, membuatkan wanita diletak ditempat yang rendah atau diskriminasi.
  3. Dalam Fiqh Al-Bukhari, wanita dibolehkan memegang, membawa dan membaca al-quran ketika haid. Kalau boleh kita hilangkan kekeliruan ini supaya masyarakat nampak islam ini tidak merendahkan wanita. Pendapat Bukhari lebih relevan pada masa kini.
  4. Kita tidak perlu menyempitkan diri sehingga menyusahkan kita.

Wajibkah Kekal dalam 1 Mazhab?

Kata Dr Wahbah al-Zuhaily: “Kata majoriti ulama: Tidak wajib bertaklid kepada Mazhab tertentu dalam semua masalah Agama. Bahkan harus untuk seseorang bertaklid kepada mana-mana Pendapat Imam Mujtahid yang dia mahu. Jika dia beriltizam dengan mazhab tertentu, seperti mazhab Abu Hanifah, atau al-Syafi’i atau selainnya, maka tidak wajib dia berterusan. Bahkan boleh untuk dia berpindah-pindah mazhab. Ini kerana tiada yang wajib melainkan apa yang diwajibkan Allah dan RasulNya. Allah dan RasulNya tidak pula mewajibkan seseorang bermazhab dengan Mazhab tertentu. Hanya yang Allah wajibkan ialah mengikut ‘Ahli Zikr’ (yakni para Ilmuan atau ulama), tanpa dihadkan kpd tokoh tertentu, dan bukan yang lain. Firman Allah: (maksudnya):” Maka bertanyalah kamu kepada Ahl al-Zikr jika kamu tidak mengetahui.

Ini kerana mereka yang bertanya fatwa pada zaman sahabah dan Tabi’in tidak terikat dengan Mazhab tertentu. Bahkan mereka bertanya kpd sesiapa sahaja yang mampu mengeluarkan Fatwa tanpa terikat dengan hanya seorang sahaja.

Maka bercampur Mazhab adalah HARUS berdasarkan Ijmak (kesepakatan seluruh) Para Ulamak dan adalah tidak wajib mengikut hanya kpd satu satu Mazhab tertentu dalam semua masalah.

Pendapat yang mewajibkan atau memaksa maksa mengikut Mazhab tertentu hanya akan membawa kepada kesusahan dan kesempitan. Sedangkan Mazhab adalah nikmat, kelebihan dan rahmat. Inilah pendapat yang paling kukuh di sisi ulama Usul al-Fiqh.”

[Ruj: Al-Zuhaili, Dr Wahbah, al-Rukhas al-Syar’iyyah, m.s. 17-19, Beirut: Dar al-Khair]

Wajibkah Solat Jumaat di 2 Hari Raya

Adakah gugur solat jumaat apabila ianya jatuh pada 2 hari raya. Berikut adalah sebagai pendapat para ilmuwan.

a. Ustaz Dr Mohd Asri Zainul Abidin

  • Disiarkan pada November 26, 2009

Soalan: “Apakah benar jika hari raya berlaku pada Hari Jumaat maka sesiapa yang menunaikan Solat Hariraya tidak wajib lagi untuk dia menunaikan Solat Jumaat?

Jawapan Dr Mohd Asri Zainul Abidin: Para fuqaha (sarjana Fekah) berbeza pendapat dalam hal ini. Di kalangan ulama, terutama dalam Mazhab Hanbali menyatakan tidak wajib Jumaat untuk makmum yang sudah menghadiri solat Hariraya, kecuali imam. Ini berdasarkan hadis Nabi s.a.w ketika hariraya berlaku pada Hari Jumaat :

قَدِ اجْتَمَعَ فِى يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنَ الْجُمُعَةِ وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ

“Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hariraya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hariraya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan Jumaat” (Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih).

  • Berdasarkan hadis di atas, maka seseorang diberi pilihan sama ada hendak menunaikan solat Jumaat setelah menunaikan Solat Hariraya, atau berpada dengan solat berkenaan. Maka dengan itu dia wajib menunaikan Solat Zohor. Terdapat pendapat di kalangan ulama bahawa Zohor juga tidak wajib disebabkan Nabi s.a.w tidak pun menyebut hal ini dan Hari Jumaat yang diwajibkan adalah Solat Jumaat, maka apabila ia digugurkan tidak perlu mengganti apa-apa. Antara yang berpendapat tidak wajib diganti dengan Zohor ialah al-Imam Syed Sabiq dalam Fiqh al-Sunnah (1/267, Beirut: Dar al-Fikr).

Apapun, hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, termasuk amalan pada zaman Umar, Abdullah ibn al-Zubair dan Ibn ‘Abbas menyebut perbuatan meninggalkan Jumaat pada hariraya itu أصابت السنة “Betul dari segi sunnah” (lihat: Ibn Taimiyyah, al-Fatawa al-Kubra 2/366, Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Cumanya, mereka kebanyakannya berpendapat wajib Zohor. Adapun imam hendaklah menunaikan Jumaat untuk mereka yang hendak menunaikan Jumaat, atau tidak menunaikan Solat Hariraya, maka wajib dia menunaikan Jumaat.

Dengan diakui ada perbezaan pendapat di kalangan sarjana hukum, namun saya cenderung kepada tidak wajib Jumaat bagi makmum yang sudah menunaikan solat Hariraya berdasarkan hadis di atas dan beberapa riwayat yang lain, juga sifat Islam itu sendiri yang meringankan apabila ada ruang kelonggaran. Apatahlagi, maksud perhimpunan kaum muslimin telah tertunai pada hari tersebut, maka perhimpunan solat hariraya sudah dapat memenuhi maksud perhimpunan solat Jumaat.

 

 

b. Ustaz Dr Anhar Opir

Ringkasan dari tulisan Ustaz Dr Anhar:

Intro

  • Solat hari raya sama ada Eidu al-Fitri atau Eidu al-Adha hukumnya adalah sunat dan nanakala solat Jumaat pula hukumnya wajib atau fardhu ain. Hukum wajib lebih utama dari yang sunat.
  • Namun terdapat hadith nabi SAW dan athar sahabat yang difahami daripadanya gugur hukum wajib solat Jumaat bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya.
  • Diantara dalilnya seperti riwayat dari Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Telah berhimpun pada hari ini dua hari raya, barangsiapa yang ingin maka ia (solat sunat hari raya) adalah cukup baginya daripada (solat) Jumaat, adapun kami, menghimpunkan (lakukan kedua-duanya). (Riwayat Abu Daud dan Ibn Majah)

  • Begitu juga dengan Riwayat daripada Iyas bin Abi Ramlah al-Syami, katanya:

 Aku menyaksikan Mu’awiyah bin Abi Sufiyan bertanya Zaid bin Arqam RA: Adakah engkau menyaksikan bersama nabi SAW dua hari raya yang berhimpun pada satu hari? Jawabnya: ya. Dia bertanya lagi: Bagaimana nabi SAW lakukan? Jawabnya: baginda SAW solat hari raya kemudian memberikan kelonggaran dalam solat Jumaat, sabda nabi SAW: barangsiapa yang ingin solat maka solatlah. (Riwayat Abu Daud, al-Nasaa’ie dan al-Hakim dalam al-Mustadrak dengan ulasan: isnad sohih)

Imam al-Nawawi (676H) pula menyatakan dalam al-Majmu’bahawa isnad hadith ini baik.

  • Selain itu, Riwayat daripada Abu ‘Ubaid maula Ibn Azhar menyatakan bahawa:

Aku menyaksikan dua hari raya bersama Uthman bin Affan, hari itu ialah hari Jumaat, dia pun solat sebelum khutbah, kemudian dia berkhutbah, katanya: wahai manusia, sesungguhnya pada hari ini telah berhimpun bagi kamu dua hari raya, barangsiapa daripada penduduk kawasan tinggi (jauh) yang ingin menunggu Jumaat maka tunggulah, dan barangsiapa yang ingin balik maka aku izinkan. (Riwayat al-Bukhari)

  • wujudnya dalil ni menyebabkan ulama berselisih pendapat dan perbezaan pendapat ini berpunca daripada perselisihan status hadith, athar yang sampai kepada mereka istidlal (bentuk pendalilan).
  • Terdapat 2 pendapat iaitu:
  • i) Imam Ahmad (241H) gugur kewajipan solat jumaat yang telah solat sunat hari raya tetapi wajib solat zohor.
  • ii) Mazhab Maliki, Shafie dan Hanafi pula Solat hari raya tidak menggugurkan kewajipan solat Jumaat. Maknanya solat Jumaat tetap wajib ke atas mereka yang telah melakukan solat hari raya.

Pendapat pertama berpegang kepada dalil-dalil seperti yang dinyatakan di atas. Ia dikuatkan lagi dengan riwayat daripada ‘Ato’katanya:

Ibn al-Zubair solat hari raya bersama kami pada awal pagi hari Jumaat, kemudian kami pergi menunaikan Jumaat sedangkan dia (ibn al-Zubair) tidak keluar dengan kami, maka kami pun solat sesama kami. Ketika itu Ibn Abbas berada di To’if, apabila kembali kami menceritakan perkara itu kepadanya, lalu dia berkata: dia menepati sunnah. (Riwayat Abu Daud)

Menurut pendapat yang pertama, kesemua dalil ini menunjukkan gugurnya kewajipan solat Jumaat bagi seseorang yang telah melakukan solat sunat hari raya jika berhimpun kedua-duanya pada hari yang sama. Tetapi solat Zohor tetap wajib dilakukan sebagai ganti solat Jumaatnya. Ini bermakna solat hari raya hanya menggugurkan kewajipan solat Jumaat bukannya solat Zohor.

Adapun istidlal dengan perbuatan Ibn al-Zubair adalah tidak sesuai kerana wujudnya ihtimal (kebarangkalian) lain. Dalam riwayat tersebut langsung tidak menunjukkan bahawa Ibn al-Zubair tidak solat Zohor di rumahnya, bahkan hanya menyebut tidak menunaikan solat Jummat sahaja. Maka wujud kebarangkalian Ibn al-Zubair melakukan solat Zohor di rumahnya yang tidak diketahui oleh para sahabat yang lain. Kaedah feqh menyatakan bahawa sebarang dalil yang mempunyai ihtimal maka terbatal dengannya istidlal. Boleh dikatakan bahawa ini adalah pendapat bagi mereka yang hanya membenarkan untuk diawalkan Jumaat sebelum gelincir matahari. Ini bertepatan dengan riwayat Wahab bin Kisan katanya:

Telah berhimpun dua hari raya pada zaman Ibn al-Zubair, dia lewat keluar sehingga hari sudah tinggi, kemudia dia keluar dan berkhutbah, panjang khutbahnya, kemudian dia turun dan solat, dan dia tidak solat bersama orang ramai pada hari Jumaat. (Riwayat al-Nasaa’ie)

Kita sedia maklum bahawa terdapat perbezaan di antara khutbah Jumaat dengan khutbah hari raya. Khutbah Jumaat adalah sebelum solat sedangkan khutbah hari raya adalah selepasnya. Oleh itu, ini adalah pendapat yang dipegang oleh mereka yang mengharuskan Jumaat dilaksanakan awal sebelum waktu Zohor, maka solat sunat hari raya sudah memadai bagi mereka dan tidak perlu lagi melakukan solat Jumaat.

Bagi pendapat kedua pula, mereka berpegang kepada umumnya dalil yang menyatakan kewajipan solat Jumaat pada setiap minggu. Ia adalah syi’ar Islam yang perlu dilaksanakan sebagaimana solat sunat hari raya, melaksanakan salah satu daripada kedua-duanya tidak boleh menampung yang yang satu lagi. Kedua-duanya mesti dilaksanakan tanpa pengecualian. Mereka berpandangan bahawa hadith dan atharyang sampai kepada mereka dalam persoalan ini tidak kuat sehingga ke peringkat boleh mengkhususkan umumnya dalil kewajipan Jumaat yang telah thabit (tetap) dalam al-Qur’an, al-Sunnah dan ijma’. Firman Allah SWT dalam surah al-Jumu’ah ayat 9 bermaksud:

Wahai orang-orang yang beriman, apabila diserukan azan untuk mengerjakan solat pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (solat Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui.

Ayat ini adalah umum iaitu pada setiap Jumaat bagi mereka yang cukup syarat-syarat wajibnya, sama ada berbetulan dengan hari raya atau tidak. Terdapat juga pelbagai hadith nabi SAW lain yang menunjukkan kewajipan solat Jumaat dan peringatan keras bagi mereka yang meninggalkannya tanpa sebarang keuzuran, di antaranya sebagaimana diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA bahawa nabi SAW bersabda bermaksud:

Sama ada satu kaum berhenti daripada meninggalkan Jumaat, atau Allah akan menutup hati-hati mereka, kemudian menjadikan mereka dalam kalangan orang-orang yang lalai. (Riwayat Muslim)

Mereka yang berpegang kepada pendapat kedua ini juga mendatangkan peristiwa yang berlaku pada zaman nabi SAW. Hari raya pada hari Jumaat seumpama ini pernah berlaku dan nabi SAW melakukan solat kedua-duanya bersama dengan para sahabat. Tidak ada riwayat yang menyatakan bahawa nabi SAW memberi kelonggaran kepada para sahabat untuk meninggalkan solat Jumaat. Diriwayatkan daripada al-Nu’man bin Basyir RA katanya:

Adalah nabi SAW membaca ‘sabbihisma robbika al-a’la’ dan ‘hal ataaka hadithu al-ghasyiah’ dalam dua solat hari raya dan solat Jumaat. Katanya lagi: apabila berhimpun hari raya dan Jumaat pada hari yang sama, baginda SAW juga membaca kedua-duanya dalam kedua-dua solat. (Riwayat Muslim)

Pendapat terpilih

Islam itu ajarannya praktikal dan sesuai dilaksanakan pada setiap masa dan semua tempat. Persoalan ini ada keluasannya selagi ia adalah permasalahan khilafiyah (perbezaan pandangan) yang berdiri di atas ijtihad kerana dalalah (pendalilan) nya yang dzonni. Oleh itu, solat Jumaat di masjid hendaklah didirikan kerana beramal dengan nas asal dan mengambil yang ahwat (lebih berat). Maka imam bertugas hendaklah keluar untuk solat Jumaat bersama orang ramai khususnya yang tidak melakukan solat sunat hari raya, kerana kewajipan solat Jumaat tidak gugur ke atas mereka. Ini disebabkan yang gugur hukum wajib solat Jumaat menurut pendapat pertama adalah bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya sahaja.

Bagi mereka yang telah melakukan solat sunat hari raya, jika mempunyai kesukaran untuk menghadiri Jumaat boleh memilih untuk mengikut pendapat pertama, iaitu rukhsah (kelonggaran) solat Jumaatnya sudah tidak wajib ke atasnya. Solat sunat hari raya yang dikerjakannya sudah memadai baginya, dengan syarat dia wajib melaksanakan kewajipan solat Zohor selepas masuk waktunya. Dilarang memperkecilkan orang lain yang pergi menunaikan solat Jumaat, dan tidak boleh mengingkari orang ramai yang melaksanakan Jumaat di masjid kerana ia boleh menyalakan api fitnah yang boleh membawa kepada ketidaktenteraman dan perpecahan.

Kesimpulannya, seseorang boleh mengambil pendapat tidak wajib solat Jumaat jika telah melakukan solat sunat hari raya, tetapi wajib ke atasnya solat Zohor. Adapun pendapat yang menyatakan gugurnya kewajipan solat Jumaat dan Zohor sekaligus dengan sebab solat hari raya adalah tidak berasas sama sekali. Wallahu a’lam.

Anhar Opir 9 Zul Hijjah 1433H Sweileh, Amman

c. Abu Anas Madani/ Ustaz Dr Abdul Basit Abdul Rahman

Soalan: “Apakah benar jika hari raya jatuh pada Hari Jumaat maka sesiapa yang telah menunaikan Solat Hari Raya tidak wajib lagi untuk menunaikan Solat Jumaat?

Dalam persolan ini terdapat beberapa hadis yang diriwayatkan dari Rasulullah saw; Pertama: Hadis Zaid bin Arqam

عَنْ إِيَاسِ بْنِ أَبِي رَمْلَةَ الشَّامِيِّ قَالَ: شَهِدْتُ مُعَاوِيَةَ بْنَ أَبِي سُفْيَانَ وَهُوَ يَسْأَلُ زَيْدَ بْنَ أَرْقَمَ قَالَ: أَشَهِدْتَ مَعَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عِيدَيْنِ اجْتَمَعَا فِي يَوْمٍ؟ قَالَ: نَعَمْ، قَالَ: فَكَيْفَ صَنَعَ؟ قَالَ: صَلَّى الْعِيدَ ثُمَّ رَخَّصَ فِي الْجُمُعَةِ. فَقَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يُصَلِّيَ فَلْيُصَلِّ). رواه أبو داود (1590)،

Muawiah bin Abi Sufyan bertanya kepada Zaid bin Arqam r.a: Pernahkah awak meyaksikan hari raya yang terkena pada hari Jumaat pada zaman Rasulullah SAW? Jawabnya: Ya! Kata Muawiah: Bagaimana Rasulullah melakukannya? Kata Zaid: Nabi SAW melaksanakan solat Eid (pada suatu hari Jumaat) kemudian Baginda memberikan rukhshah (kemudahan/keringanan) dalam solat Jumaat dengan bersabda: “Barangsiapa yang mahu solat (Jumaat), hendaklah dia solat.” [HR. Al-Khamsah, kecuali At Tirmizi. Hadis ini ditashih oleh ramai ulama’].

Kedua: Hadis Abu Hurairah:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((قَدْ اجْتَمَعَ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا عِيدَانِ فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ)) رواه أبو داود رقم: 1073.

Sabda Nabi saw: “Telah berkumpul pada hari kamu ini dua hari raya, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi SAW) akan menunaikan (juga) solat Jumaat” [Riwayat Abu Daud, Ahmad, Ibn Majah. Dinilai sahih oleh al-Hakim dan dipersetujui oleh al-Zahabi. Al-Albani juga menyatakan sahih].

Ketiga: Hadis Abdullah bin Abbas.

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ عَنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ قَالَ: ((اجْتَمَعَ عِيدَانِ فِي يَوْمِكُمْ هَذَا، فَمَنْ شَاءَ أَجْزَأَهُ مِنْ الْجُمُعَةِ، وَإِنَّا مُجَمِّعُونَ، إِنْ شَاءَ اللَّهُ)). رواه ابن ماجة رقم: 1311.

Sabda Nabi Saw: “Telah berkumpul dua hari raya pada hari kamu ini, sesiapa yang mahu memadailah baginya solat hari raya bagi solat Jumaat (tidak wajib Jumaat), adapun kami (Nabi s.a.w) akan menunaikan (juga) solat Jumaat, Insya’Allah”. [HR: Ibnu Majah]

Ketiga: Hadis Abdullah bin Umar.

عَنْ ابْنِ عُمَرَ قَالَ: اجْتَمَعَ عِيدَانِ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى بِالنَّاسِ، ثُمَّ قَالَ: ((مَنْ شَاءَ أَنْ يَأْتِيَ الْجُمُعَةَ فَلْيَأْتِهَا)) وَمَنْ شَاءَ أَنْ يَتَخَلَّفَ فَلْيَتَخَلَّفْ)) رواه ابن ماجه رقم: 1313.

Katanya: “Telah berkumpul pada suatu ketika dua hari raya pada zaman Rasulullah saw, maka Baginda telah menunaikan solat hari raya bersama sahabat, kemudian bersabda: “Sesiapa yang mahu datang solat Jumaat, boleh datang dan sesiapa tak mahu pun boleh” [HR: Ibnu Majah]

Para ulama berbeza pendapat mengenai hukum solat Jumaat yang jatuh bertepatan dengan hari raya, sama ada ‘Idul Fitri mahupun ‘Idul Adha.

Pertama, solat Jumaat tidak gugur dari penduduk kota (ahlul Balad/ahlul madinah) yang di tempat mereka memang diadakan solat Jumaat. Sedang bagi orang yang datang dari kampung yang jauh atau pendalaman (ahlul Qura / badawi), yang di tempat mereka itu tidak dilaksanakan solat Jumaat, gugur kewajiban solat Jumaatnya. Jadi jika mereka –yakni orang yang datang dari kampung yang jauh- setelah solat hari raya, mereka boleh terus pulang, tanpa menunggu untuk mengikuti solat Jumaat pula. Inilah pendapat Imam Syafi’i. Ini juga pendapat Usman dan Umar bin Abdul Aziz dan Jumhur Ulama’. Secara dasarnya, Imam Shafie tetap mewajibkan solat Jumaat yang jatuh pada hari raya. Namun beliau menetapkan kewajipan tersebut terhadap penduduk kota (terdapat kemudahan masjid). Bagi penduduk desa atau kampung pendalaman yang berkunjung ke kota khas untuk solat hari raya (dan solat Jumaat), dan di tempat mereka tidak dilaksanakan solat Jumaat, maka mereka dibenarkan untuk tidak mengerjakan solat Jumaat. [Majmu’: 4/320]

Kedua, solat Jumaat tetap wajib ditunaikan, baik oleh penduduk kota yang didirikan solat Jumaat mahupun oleh penduduk yang datang dari kampung. Ini pendapat Imam Abu Hanifah dan Imam Malik. Jadi, solat Jumaat tetap wajib dan tidak gugur dengan ditunaikannya solat hari raya.

Ketiga, tidak wajib solat Jumaat baik bagi orang yang datang dari kampung mahupun bagi orang bandar yang dekat dengan tempat solat Jumaat. Tetapi mereka wajib solat Zuhur, kecuali Imam (wajib ke atasnya mendirikan Jumaat). Demikian pendapat Imam Ahmad.

Keempat, Zuhur dan Jumaat sama-sama gugur kewajibannya pada hari itu. Jadi setelah solat hari raya, tak ada lagi solat sesudahnya selain solat Asar. Demikian pendapat ‘Atha` bin Abi Rabah. Dikatakan, ini juga pendapat Ibnu Zubair dan ‘Ali ra. Dalil Mazhab Jumhur (kebanyakkan ulama’):

1- Umum Ayat Al-Quran: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu pergi (ke masjid) untuk mengingati Allah (dengan mengerjakan sembahyang Jumaat) dan tinggalkanlah berjual-beli (pada saat itu); yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui (hakikat yang sebenarnya)” [Al-Jumu’ah:9].

2- Demikian juga hadis-hadis yang menyuruh supaya bersolat Jumaat. 3- Jumaat dan Solat Eid adalah dua solat yang berasingan, maka tidak gugur dengan melakukan salah satu dari keduanya, seperti solat Eid dan Zuhur. 4- Sayyidina Osman ra dalam khutbah hari raya yang jatuh pada hari Jumaat …kepada penduduk ‘Aliyah (pendudut sebelah timur Madinah): “Sesiapa yang mahu tunggu solat Jumaat, boleh tunggu, sesiapa yang ingin balik, boleh balik..) [HR: Bukhari] قَالَ أَبُو عُبَيْدٍ: ثُمَّ شَهِدْتُ الْعِيدَ مَعَ عُثْمَانَ بْنِ عَفَّانَ فَكَانَ ذَلِكَ يَوْمَ الْجُمُعَةِ، فَصَلَّى قَبْلَ الْخُطْبَةِ، ثُمَّ خَطَبَ فَقَالَ: يَا أَيُّهَا النَّاسُ إِنَّ هَذَا يَوْمٌ قَدْ اجْتَمَعَ لَكُمْ فِيهِ عِيدَانِ، فَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَنْتَظِرَ الْجُمُعَةَ مِنْ أَهْلِ الْعَوَالِي فَلْيَنْتَظِرْ، وَمَنْ أَحَبَّ أَنْ يَرْجِعَ فَقَدْ أَذِنْتُ لَهُ)) [رواه البخاري، بَاب مَا يُؤْكَلُ مِنْ لُحُومِ الأَضَاحِيِّ وَمَا يُتَزَوَّدُ مِنْهَا]

Dalil Mazhab Hanafi: Berpegang dengan kewajipan asal fardhu Solat Jumaat.

Dalil Mazhab Hambali: Hadis-hadis di atas. Berdasarkan pendapat-pendapat di atas, dapat disimpulkan bahawa pendapat jumhur berpegang kepada dalil umum dan pendapat Imam Ahmad bin Hanbal rahimahullah adalah berpegang pada dalil yang khusus. Perinciannya hukumnya adalah seperti berikut:

Hukum pertama, jika seseorang telah menunaikan solat hari raya – yang jatuh bertepatan dengan hari Jumaat – gugurlah kewajiban atasnya untuk menunaikan solat Jumaat. Dia boleh melaksanakan solat Jumaat dan boleh juga tidak. [Pendapat Mazhab Hambali] Hukum kedua, bagi mereka yang telah menunaikan solat hari raya tersebut, lebih utama dan disunnahkan tetap melaksanakan solat Jumaat. Dalilnya adalah hadis Abu Hurairah r.a. bahawa Nabi SAW bersabda: “Innaa mujammi’uun” (Sesungguhnya kami akan mengerjakan Jumaat). Ini menunjukkan bahawa walaupun Nabi SAW menjadikan solat Jumaat sebagai rukhshah, yakni boleh dikerjakan dan boleh tidak, akan tetapi Nabi Muhammad SAW faktanya tetap mengerjakan solat Jumaat.

Hukum ketiga, jika orang yang telah menunaikan solat hari raya tersebut memilih untuk tidak menunaikan solat Jumaat, wajib melaksanakan solat Zuhur, tidak boleh meninggalkan Zuhur. Hukum keempat, mereka yang pada pagi harinya tidak melaksanakan solat hari raya, wajib ke atasnya untuk menunaikan solat Jumaat, tidak dibenarkan baginya untuk meninggalkan solat Jumaat.

Kesimpulannya, Pendapat jumhur yang membezakan antara warga bandar dengan orang yang jauh dari tempat solat Jumaat didirikan adalah wajar diambil kira, kerana ulama’ telah meletakkan suatu kaedah: “Keluar daripada khilaf (perselisihan pandangan) di kalangan ulama, adalah lebih afdhal” oleh itu bagi mereka yang tidak mempunyai sebarang kesukaran untuk hadir ke masjid hendaklah tetap menunaikan solat Jumaat pada hari tersebut, bagi sesiapa yang mempunyai masyaqqah (kesusahan) untuk kembali semula ke tempat Jumaat memadailah dengan melakukan solat Zuhur. Demikian juga waqi’ atau realiti rakyat Malaysia yang berpegang dengan mazhab al-Syafie (secara resminya) adalah tidak gugur kefarduan Jumaat sekiranya hari raya jatuh pada hari Jumaat. Keizinan yang diberi oleh Imam al-Syafie kepada penduduk yang berjauhan dari masjid adalah dengan tujuan tidak membebankan mereka, sedangkan mereka terpaksa keluar dua kali untuk ke masjid. Di negara kita keadaannya sangat berlainan, kita tidak menghadapi kesukaran untuk ke masjid, manakala masjid pun tidak sejauh mana dari rumah. Satu lagi yang perlu diperhatikan ialah, masyarakat yang tidak mengetahui hukum dan dalil dalam masalah ini akan memandang serong dan pelik jika ada sekumpulan kaum lelaki yang tidak pergi menunaikan solat Jumaat, ini akan menimbulkan kecelaruan dan salah faham. Pengalaman ana berada di Tanah Haram, yang berpegang secara rasmi dengan mazhab Hambali, dua Masjid Haram tetap melakukan solat Jumaat, adapun masjid-masjid lain disekitarnya, (yang masyarakatnya sudah biasa dengan hukum itu) ada yang melakukan solat Zuhur berjamaah seperti biasa. Wallahu a’lam. Rujukan: Al-Majmu’ Syarh Al-Muhazzab, Imam An-Nawawi. 4/319-321, cet, Dar al-Ulum, Mesir. Al-Mughi, Ibn Qudamah. 3/242. Cet, 5. 1426H. Dar Alam Al-Kutub, Riyadh. Akhukum. Abu Anas Madani, Pondok Sg Durian. 29 Ramadhan 1431H – 8 Sep 2010. http://www.abuanasmadani.com

d. Ustaz Dr Rozaimi Ramle

 

 

Hukum Bela Burung Dalam Sangkar

IMG_8359.JPG

Apakah hukum membela burung dalam kurungan/sangkar?

Harus memelihara haiwan peliharaan seperti burung di dalam kurungan selagi haiwan tersebut diberi makan/minum dan tidak menzaliminya.

Di dalam sahih al-Bukhari dan Muslim ada riwayat tentang saudara Anas bin Malik yang digelar Abu Umair (أبو عمير) ada memelihara burung yang bernama al-Nughair (النُّغَيْرُ – seekor burung kecil). Suatu hari burung itu mati, lalu Abu Umair (masih budak) sedih dengan kematian burung kesayangannya itu. Lalu Nabi saw bergurau dengannya sambil bertanya: “Wahai Abu Umair, apa yang terjadi kepada al-Nughair.?”

Al-Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani ketika mensyarahkan hadith ini di dalam Fath al-Bari berkata:

“Hadith ini telah dijadikan dalil atas keharusan mengurung burung (memeliharanya di dalam sangkar), kerana Nabi saw tidak mengingkari perbuatan Abu Umair.”

Al-Syeikh Abdul Azizi Abdullah bin Baz pernah ditanya dengan soalan ini:

“Apakah hukum orang yang menghimpunkan burung di dalam sangkar agar anak-anaknya bergembira/berhibur dengan burung-burung tersebut?”

Jawapan beliau: “Tidak mengapa perkara itu, jika disediakan kepada burung-burung tersebut keperluannya seperti makanan dan minuman, kerana asal dalam perkara ini adalah halal, dan tidak ada dalil yang menyatakan sebaliknya setakat pengetahuan kami.”

(Fatawa Ulama’ al-Bilad al-Haram, m.s. 1793)

Para ulama al-Lujnah al-Daimah berkata:

“Menjual burung yang cantik seperti burung kakaktua atau burung yang berwarna-warni dan burung kecil (البلابل) kerana suaranya adalah harus, kerana melihat dan mendengar suaranya perkara yang harus, tidak terdapat nas syara’ yang mengharamkan menjual dan memilikinya. Bahkan terdapat dalil yang boleh difahami akan keharusan mengurungnya jika diberi kepadanya makanan dan minuman dan apa yang sepatutnya.

Antaranya ialah hadith yang diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada hadith Anas bin Malik, katanya:

‏ قَالَ كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا ، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ ، قَالَ : أَحْسِبُهُ فَطِيمًا وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ يَا أَبَا عُمَيْرٍ مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ ؟ نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ

Maksudnya: “Nabi saw adalah seorang yang paling baik akhlaknya dan aku punyai seorang saudara yang dipanggil Abu Umair, aku mengira dia seorang budak yang sudah berhenti susuan, dan apabila Nabi saw datang, baginda akan bertanya: Wahai Abu Umair, apa yang telah dilakukan al-Nughair?” Nughar (sejenis burung kecil) yang dimain oleh Abu Umair…” al-Hafidz Ibn Hajar di dalam Syarhnya kepada Sahih al-Bukhari “Fath al-Bari” ketika menyebut beberapa faedah dari hadith ini berkata: “pada hadith ini adanya keharusan seorang budak bermain dengan burung, harus ibu-bapa meninggalkan anak kecil mereka bermain dengan apa yang diharuskan mereka bermain, harus menafkahkan sejumlah harta untuk keseronokan anak kecil dari perkara-perkara yang harus dan harus mengurung burung di dalam sangkar atau seumpamanya….” (Fatwa al-Lujnah al-Daimah, 13/38-40)

Zakat Fitrah: Dimana Perlu Bayar & Bila?

Sumber Dari Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan

Zakat fitrah pada istilahnya ialah sedekah yang wajib dikeluarkan selepas berbuka untuk beraya dan selesainya Ramadan. Lihat Haasyiah as-Syalabi Syarh al-Zailaie (1/306) dan Nail al-Maarib (1/255).

Waktu Wajib Zakat Fitrah

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat antaranya:

Mazhab Hanafi menyatakan waktu wajib zakat fitrah bila keluarnya fajar pada hari raya. Ini juga salah satu pendapat yang ditashihkan oleh Mazhab Maliki. Mazhab Syafie mengikut yang azhar dan Hanbali berpendapat bahawa waktu wajib zakat fitrah bermula dengan tenggelamnya matahari pada hari akhir Ramadan (malam Raya). Ia juga pendapat sebahagian Mazhab Maliki.

Waktu Yang Wajib Ditunaikan

Para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

Jumhur Hanafi berpendapat waktu menunaikan zakat fitrah bersifat keluasan. Al-Hasan bin Ziyad dari ulama Hanafi berpendapat waktu menunaikannya bersifat setempat dan terhad seperti korban. Justeru siapa yang menunaikannya selepas hari raya tanpa uzur, ia dianggap sebagai berdosa. Pendapat ini juga adalah pendapat Mazhab Maliki, Syafie, dan Hanbali.

Mengeluarkan Sebelum Waktu Wajib

Dalam hal ini para ulama telah khilaf kepada beberapa pendapat:

Mazhab Maliki dan Hanbali berpendapat harus mendahulukannya daripada waktunya dua hari berdasarkan kepada kenyataan Ibn Umar R.Anhuma berkata:
كَانُوا يُعْطُونَ صَدَقَةَ الفِطْر قَبْلَ العِيدِ بِيَومٍ او يَوْمَينِ

Maksudnya : “Mereka di kalangan sahabat menunaikan zakat fitrah sebelum hari raya sehari atau dua hari.”

Pendapat Mazhab Syafie sunat dikeluarkannya sebelum solat hari raya dan makruh mentakhirkannya sehingga selesai solat.
Al-Hasan bin Ziyad berpendapat harus menunaiknnya daripada waktu setahun atau dua tahun sama seperti zakat. (Ini pendapat syaz dan asing) Pendapat sebahagian ulama Hanafi bahawa harus mendahuluinya hanya pada bulan Ramadan sahaja. Inilah pendapat yang ditashihkan dalam Mazhab Hanafi dan juga dalam Mazhab al-Syafie.

Di Mana Zakat Fitrah Perlu Dibayar

Setelah meneliti pendapat makanya zakat fitrah wajib dibayar berdasarkan kepada di mana seseorang itu berada ketika masuknya waktu wajib untuk zakat fitrah iaitu bermula pada malam hari raya sehingga sampai sebelum solat hari raya. Walaupun begitu, melihat kepada realiti semasa, saya lebih cenderung kepada pendapat ihtiyat iaitu kita mengawalkan sedikit masa pembayaran sama ada sehari atau dua hari mengikut apa yang dilakukan oleh para sahabat.

Justeru jika ketika itu beliau masih berada di tempat kerja dan belum pulang ke kampung, lebih elok baginya untuk dia bayar di tempat kerjanya kerana ia bersifat yakin dan tahqiq sedangkan kepulangannya ke kampung masih lagi dalam bentuk sangkaan dzan yang mungkin tidak berlaku.

Begitu juga dengan pembayaran awal boleh menyelesaikan tanggungjawab dengan sebaik mungkin dan bukan dalam bentuk tergopoh gapah atau mungkin berlaku sebarang halangan yang menyebabkan terlepasnya daripada menunaikan zakat fitrah pada waktu wajibnya.

Berkenaan Dengan Kenyataan Imam an-Nawawi Dalam al-Majmu’

Imam Nawawi R.A menyatakan :

إذا كان في وقت وجوب زكاة الفطر…في بلد ومالُه في آخر فأيّهما يُعتبر؟ فيه وجهان : (أحدهما) بلد المال كزكاة المال (وأصحهما) بلد ربِّ المال. ممّنْ صحّحه المصنّف في التنبيه والجرجاني في التحرير والغزالي والبغوى والرافعي وآخرون.

Maksudnya : “Jika seseorang itu sewaktu zakat fitrah wajib (ke atasnya) berada di sebuah negeri, manakala hartanya berada di negeri lain, maka negeri mana satukah yang diambil kira ketika membayar zakat fitrah?”

Terdapat dua pandangan; salah satunya : yang diambil kira ialah negeri tempat di mana harta itu berada sama seperti zakat harta yang perlu dikeluarkan di tempat di mana harta itu berada.

Pendapat paling sahih daripada kedua-dua pandangan ini ialah yang diambil kira ialah negeri tempat di mana empunya harta berada.

Antara mereka yang mentashihkannya (pendapat yang paling sahih), ialah pengarang Imam Asy-Syirazi dalam kitabnya at-Tanbih, al-Jurjani dalam kitabnya at-Tahrir, al-Ghazali, al-Baghawi, al-Rafi’e dan lain-lain.

Ulasan

Isu ini berkaitan antara seseorang yang perlu membayar zakat berada di satu negeri sedangkan hartanya berada di negeri lain. Justeru, berkenaan dengan zakat fitrah pula pada ghalibnya seseorang mempunyai duit atau harta bagi menunaikannya. Jadi isu ini berlainan daripada apa yang dibincangkan iaitu tempat mana yang perlu dibayar zakat fitrah. Makanya kita nyatakan pada waktu wajib di mana ia berada dan kami mentarjihkan agar zakat fitrah ditunaikan lebih awal daripada waktu wajib sehari atau dua hari seperti kenyataan Ibn Umar R.Anhuma.

Penutup

Semoga penjelasan ini akan dapat menyelesaikan maksud di mana zakat fitrah wajib dibayar dan saya ulangi sekali lagi bahawa kewajipan tersebut bergantung di mana dia berada pada waktu wajib zakat ditunaikan iaitu bermula pada malam raya sehingga sebelum solat hari raya. Walaupun begitu boleh kita bayar sehari atau dua hari sebelum hari raya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Marilah sama-sama kita mencari keredhaan Allah dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan ini agar kita meraih ketaqwaan.

Cara Elak Gangguan Syaitan Ketika Solat

 

IMG_8611

Gambar Hiasan

 

Antara Sunnah yang dilupakan oleh masyarakat kini adalah cara yang diajar oleh Rasulullah ﷺ bagi mengelakkan gangguan dari syaitan ketika solat. Berdasarkan hadith Uthman bin Abi al-‘As radiallahu ‘anhu

عَنْ أَبِي، الْعَلاَءِ أَنَّ عُثْمَانَ بْنَ أَبِي الْعَاصِ، أَتَى النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم فَقَالَ يَا رَسُولَ اللَّهِ إِنَّ الشَّيْطَانَ قَدْ حَالَ بَيْنِي وَبَيْنَ صَلاَتِي وَقِرَاءَتِي يَلْبِسُهَا عَلَىَّ ‏.‏ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم ‏ “‏ ذَاكَ شَيْطَانٌ يُقَالُ لَهُ خِنْزِبٌ فَإِذَا أَحْسَسْتَهُ فَتَعَوَّذْ بِاللَّهِ مِنْهُ وَاتْفِلْ عَلَى يَسَارِكَ ثَلاَثًا ‏”‏ ‏.‏ قَالَ فَفَعَلْتُ ذَلِكَ فَأَذْهَبَهُ اللَّهُ عَنِّي ‏.‏

Uthman bin Abi al-‘As radiallahu ‘anhu datang kepada Nabi ﷺ lalu berkata: Ya Rasulullah. Sesungguhnya syaitan telah datang dalam solat ku dan dia mengganggu bacaan ku. Rasulullah ﷺ bersabda: Itulah syaitan yang yang dipanggil Khinzib. Apabila engkau merasai gangguannya, mohonlah perlindungan daripada Allah, dan meludahlah ke sebelah kiri mu tiga kali. Uthman berkata: Aku melakukan hal itu, lalu Allah menghindarkan syaitan daripada ku. [Sahih Muslim, Kitab as-Salam, hadis no: 2203]

Menurut an-Nawawi dalam Syarah Sahih Muslim VII/447, hadith ini jelaskan sunat meminta perlindungan diri daripada syaitan jika merasa bisikan, disertai dengan meludah ke arah kiri 3 kali.

Syeikh bin Baz pula dalam Majmuk Fataawa Syeikh bin Baz, menoleh ketika solat untuk berlindung kepada Allah daripada syaitan terkutuk ketika mendapat bisikan adalah boleh. bahkan disunatkan ketika keperluan memuncak dan ianya cukup dengan kepala sahaja.

Oleh itu, kita dibolehkan untuk meminta berlindungan dari Allah apabila diganggu syaitan ketika solat meludah ke kiri 3 kali. Meludah yang dimaksudkan adalah meniup berserta sedikit air liur.

Bagaimana pula gangguan ketika solat jemaah?

Syeikh Muhammad bin Soleh al-Uthaimin rahimahullah ditanya:

Apabila seseorang itu solat secara berjemaah. Bagaimana dia boleh meludah ke sebelah kirinya?

Jawapan: Apabila dia berada di kiri dan hujung saf. Maka dia boleh meludah ke sebelah kirinya jika bukan di masjid. Jika tidak, dia boleh meludah ke sebelah kirinya pada pakaiannya, kopiahnya atau sapu tangannya. Jika dia tidak dapat meludah, maka cukup sekadar dia berpaling ke arah kiri dan membaca: Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam (membaca ta’awuz = أعوذ بالله من الشيطان الرجيم).

Kata beliau lagi: Cukup untuk dia menyebut Aku berlindung dengan Allah daripada syaitan yang direjam (membaca ta’awuz = أعوذ بالله من الشيطان الرجيم) tanpa perlu meludah agar tidak menganggu orang sekeliling yang sedang solat.

Rujukan;

 

Bolehkah Mencampur Mazhab

Video mengenai hukum mencampur mazhab dalam ibadat oleh Ustaz Dr Zaharuddin Mohammad, Ustaz Dr Mohd Asri Zainal Abidin dan Ustaz Dr Fadlan Othman.

 

 

Tuan Guru Nik Abdul Aziz Rahimahullah

B9pod_6CEAAG21_

Biodata YAB Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat

Nama : Nik Abdul Aziz bin Nik Mat
Tarikh Lahir: 1931
Tempat lahir : Kampung Pulau Melaka,Kelantan.

Pengajian :
1-Pondok Tuan Guru Hj Abbas, Besut
2-Universiti Deoband India
3-Universiti Lahore Pakistan
4-Universiti Al Azhar
5-Sarjana Muda bahasa Arab
6-Sarjana Perundangan Islam

Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat dilahirkan dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam di Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu, Kelantan pada tahun 1931. Bapanya, Haji Nik Mat bin Raja Banjar bin Raja Abdullah bin Raja Mamat merupakan keturunan Raja Jembal. Bapanya lebih dikenali dengan panggilan Tuan Guru Nik Mat Alim disebabkan beliau arif dalam ilmu-ilmu agama. Beliau terkenal di Kelantan dalam mengendalikan institusi pengajian pondok di Kampung Kedai Lalat.

Di situlah Nik Abdul Aziz mendapat pendidikan awal bersama ratusan pelajar Islam dari segenap ceruk rantau Asia Tenggara. Sejak kecil beliau mempelajari dan mendalami kitab-kitab agama yang muktabar dari Almarhum ayahandanya serta belajar menulis daripada ibunya Hajah Aminah Majid. Sewaktu usia 9 tahun, Nik Abdul Aziz dihantar berguru dengan Tuan Guru Haji Abas Mohamad di pondok Madrasah Ittifaqiyah, Jertih, Besut, Terengganu. Tuan Guru menuntut ilmu di situ selama setahun sehingga peperangan Jepun berlaku dan pengajian dihentikan buat seketika.

Pada masa ini juga, Tuan Guru berulang alik ke Kampung Sirih, berguru dengan Tok Khurasan dan belajar dengan Tuan Guru Ali Pulau Pisang dalam mata pelajaran Nahu dan Tuan Guru Dato’ Muhamad Nur Ibrahim (bekas Mufti Kelantan) dalam pelajaran Fekah. Setelah perang tamat Tuan Guru menyambung kembali pelajaran secara formal di Ittifaqiyah. Walaupun usia Tuan Guru masih muda tetapi beliau dapat menguasai kitab Asmuni (sebuah kitab nahu yang agak tinggi) setanding dengan murid-murid yang lebih tua.

Pada tahun 1945 beliau menyambung pelajaran di Jamek Merbawi Al-Ismaili, Kota Bharu hingga 1952. Beliau menyambung pelajaran ke Universiti Darul Ulum di Deoban, India, mendalami ilmu Fekah, Usul Fekah, Tafsir al-Qur’an, Hadis dan lain-lain. Ketika di India beliau juga telah berguru dengan Sheik al-Hadith dan guru Tarikat yang terkemuka di India iaitu Maulana Mohamad Ahmad Al-Madani dengan mendapat ijazah. Maulana Mohamad seorang pejuang kemerdekaan India yang pertama dan pernah di penjara semasa penjajahan Inggeris.

Pada 1957 beliau menyambung pelajaran ke Pakistan dalam bidang Tafsir. Pada 1958 menyambung pelajaran di Kuliyatul Lughah di Al-Azhar, Mesir dan memperolehi ijazah sarjana muda dalam jurusan pengajian bahasa Arab kemudian menyambung pelajaran sehingga mendapat ijazah sarjana (M.A) dalam jurusan kehakiman dan perundangan Islam selama 2 tahun. Kemudian beliau mendapat diploma pendidikan di Darul Azhar dan pulang ke tanahair Februari 1962.

Perkhidmatan :
Pada 1962 beliau membuka sekolah dengan menggunakan tanah wakaf yang diberi oleh ibu saudara Hajah Kalthom iaitu Sekolah Menengah Ugama Darul Ulum, Pulau Melaka di sebelah petang dan sebelah pagi beliau berkhidmat di Sekolah Menengah Agama Tarbiatul Mardhiyah, Panchor, Kemumin. Pada sebelah malam beliau menjadi guru dan penyelia di sekolah dewasa selama 2 tahun. Pada 1 Januari 1964 beliau meletakkan jawatan dan berkhidmat di Ma’had Muhammadi, Jalan Merbau, Kota Bharu.

Bidang Politik :
Beliau menjadi ahli PAS sejak 1967. Pada Julai 1967 hingga 1986 beliau menjadi calon PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Kelantan Hilir (sekarang Pengkalan Chepa). Pada tahun 1986 beliau berpindah untuk bertanding di kerusi kawasan Parlimen Bachok dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api hingga sekarang.

Pada 1971 beliau dilantik menjadi Ketua Dewan Ulama’ PAS Pusat hingga 1995. Kemudian dilantik Mursyidul Am PAS mengambil alih tempat yang ditinggalkan oleh Tuan Haji Yusuf Rawa.

Pada 1978 Tuan Guru dilantik sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan kemudian Menteri Besar Kelantan pada Oktober 1990. Dari sinilah bermulanya satu era kepimpinan ulama dan peranan serta tanggungjawab beliau bukan satu tugas yang kecil.

Beliau telah menulis beberapa buah buku antaranya ‘Mengapa Saya Tidak Masuk Kristian’ dan beberapa buah buku telah diterbitkan mengandungi siri-siri kuliah dan ceramah.

Pendakwah :
Dengan pengalaman yang ada, beliau telah membimbing pelajar Ma’had Muhammadi dengan menanam kesedaran dan akhirnya timbul satu ‘Halaqat pengajian yang sekarang disebut usrah. Selepas itu wujud sebuah surau yang masih ada di Ma’had Muhammadi Al-Banat, Jalan Merbau, Kota Bharu di mana surau itu dijadikan tempat latihan sembahyang jemaah dan dakwah.

Seorang Petah Bercakap
Tuan Guru lebih dikenali sebagai ulama kerana petah berpidato. Beliau telah diasuh oleh bapanya setiap hari Jumaat di masjid sejak dahulu lagi.

Ucapan beliau terang berserta dengan perumpamaan yang jelas dan memudahkan para pendengar memahaminya. Inilah cara beliau mendapat tempat di hati penyokongnya. Ilmu yang disampaikan merupakan khazanah dan kesetnya tersiar di seluruh negara hingga ke Selatan Thailand dan mendapat sambutan dari setiap peringkat sehingga menjadi bahan rujukan di pusat pengajian tinggi.

Keistemewaan :
Satu perkara yang luar biasa Nik Abdul Aziz, mengendalikan pondok bergerak sejak 1962 hingga sekarang. Beliau tidak pernah berhenti keluar rumah siang dan malam memberi kuliah dan berceramah kepada orang kampung.

Walaupun beliau telah menjadi Menteri Besar, bidang pendidikan tidak pernah ditinggalkan. Setiap malam Jumaat dan Khamis beliau mengajar dan setiap pagi Jumaat mengadakan kuliah kerana bagi beliau mengajar adalah kerja yang paling mulia sebab ia merupakan pekerjaan para Anbia’.

Penghargaan :
Beliau mendapat penghargaan:
1. Jaksa Pendamai (JP) pada 10 Julai 1968 oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Yahya Putra Ibnu Almarhum Sultan Ibrahim.
2. Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong.
3. Dikurniakan Darjah Kebesaran Jiwa Mahkota Kelantan Yang Amat Mulia peringkat pertama (Al-Isma’illi) SJMK yang membawa gelaran Dato’ pada 30 Mac 1995.

Perkahwinan :
Pada usia 34, beliau mendirikan rumah tangga dengan Datin Tuan Sabariah bin Tuan Ishak bin Raja Awang, berasal dari Kampung Kemumin, Kota Bharu iaitu tahun 1962. Hasil perkahwinan selama 30 tahun itu dikurniakan 10 cahaya mata lima perempuan dan lima lelaki.

Mereka adalah Nik Aini, Nik Umar, Nik Adli, Nik Abdul Rahim, Nik Abduh, Nik Adilah, Nik Muhamad Asri, Nik Amani, Nik Amalina dan Nik Asma’ Salsabila.

Kehidupan beliau sederhana tinggal di sebuah rumah kayu binaan kampung. Ruang tamunya tidak dihiasi dengan set sebagaimana yang menjadi kebiasaan di rumah pembesar negeri. Apa yang ada sebuah almari yang penuh dengan kitab agama.

Beliau juga tidak membenarkan isterinya memakai sebarang perhiasan begitu juga dengan anaknya. Ternyata apa yang ditarbiyahkan ke atas keluarga dilakukan sendiri oleh beliau. Baju Melayu teluk belanga, kain sarung pelikat dan serban sudah menjadi pakaian rasmi beliau.

Ahli Parlimen yang komited :
Sebelum terpilih menjadi ADUN Semut Api dalam pilihanraya umum 1986 dan kemudiannya terpilih menjadi Ketua Pembangkang di Dewan Undangan Negeri Kelantan, Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz telah terpilih menjadi Ahli Parlimen PAS bagi kawasan Pengkalan Chepa selama tiga penggal berturut-turut.

Selama menjadi Ahli Parlimen, beliau telah menyumbangkan pelbagai idea, saranan dan kritikan melalui ucapan-ucapan yang disampaikannya di Dewan Rakyat.

Kerajaan contoh :
Selaku Menteri Besar negeri Kelantan yang ada pada suatu masa dahulu pernah digelar Serambi Mekah itu, sudah pastilah Tuan Guru Haji Nik Abdul Aziz akan berusaha untuk menghidupkan semula sebutan dan fungsi gelaran yang pernah diberikan kepada negeri Kelantan itu.

Satu hal yang menarik ialah di samping kesibukannya menjadi ketua pentadbiran bagi sebuah kerajaan negeri yang secara kebetulan menjadi tumpuan pelbagai pihak dalam dan luar negeri.

Sumber: Unknown (Whatapp)

Info tambahan

TG Nik Aziz merupakan satu-satunya wakil musnid Malaysia yang meriwayatkan sanad tinggi daripada Maulan Husain Ahmad Al-Madani.

Nama TG Nik Aziz juga didaftarkan dalam pelajar-pelajar melayu di India dan ianya tersimpan di Arkib Negara.

photo 1

IMG_8279

Antara pautan menarik mengenai TG Nik Aziz Rahimahullah.